Raeihah Mohd Zain dan Rohaina Jaafar sewaktu menjalani kursus Training of Trainer (TOT) in Drone Theory & Piloting Training yang dianjurkan dan diiktiraf oleh Terra Drone Technology Malaysia Sdn Bhd.

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya mengetengahkan pengendali dron dari kalangan staf wanita menerusi kursus dan pengiktirafan yang telah dijalankan baru-baru ini di Technology Park Malaysia(TPM), Bukit Jalil, Kuala
Lumpur.

Mereka telah berjaya melengkapkan kursus Training of Trainer (TOT) in Drone Theory & Piloting Training yang dianjurkan dan diiktiraf oleh Terra Drone Technology Malaysia Sdn Bhd.

Raeihah Mohd Zain dan Rohaina Jaafar yang bertugas sebagai Jurutera Pengajar di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) merupakan pengendali dron wanita profesional pertama dari UTeM yang diiktiraf.

Raeihah berkata, menerusi kursus dan pengiktirafan ini membolehkannya menambahkan ilmu, kemahiran serta cara pengendalian berkaitan dron sebenar dan kini beliau lebih yakin untuk mengendalikan drone secara profesional.

Jelasnya, antara cabaran dalam pengendalian dron adalah untuk memastikan dron dipasang serta diprogram dengan betul supaya dron dapat terbang dengan stabil.

”Pada masa yang sama kami berjaya melakukan proses kalibrasi dron yang boleh dikatakan agak rumit itu dengan teliti dan sempurna seterusnya mengendalikan penerbangan dron dengan baik dan stabil,” katanya lagi.

Sementara itu Rohaina pula menyatakan sebagai pengandali dron profesional UTeM dilengkapkan dengan pengetahuan tentang undang-undang penerbangan dron secara rasmi.

”Kami didedahkan berkenaan undang-undang pengendalian dron di Malaysia oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” ujarnya.

Katanya lagi, pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki kini bukan hanya untuk diri sendiri semata-mata malahan dapat berkongsi kepada pelajar dan tentunya ianya memberikan impak besar kepada UTeM.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin ketika ditemubual berkata, inisiatif UTeM mengetengahkan pengendali dron dalam kalangan staf wanita adalah langkah ke hadapan agar wanita turut menceburi dan berjaya sebagai pengendali dron profesional yang berjaya.

Jelasnya, mereka juga mahir dan profesional dalam perkara ini dan selepas ini mereka turut bersama untuk menjayakan beberapa projek khas yang akan dilaksanakan oleh UTeM yang memerlukan penggunaan drone secara lebih meluas seperti sektor pertanian.

Di samping itu, mereka juga dapat berkongsi ilmu dan kemahiran kepada para pelajar serta menyumbang kepada penjanaan pendapatan kepada universiti melalui program-program bersama pelajar dan kolaborasi bersama pihak luar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast