Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap pada sidang media selepas menghadiri prosiding kes rayuan akhirnya berkaitan sabitan dan hukuman penjara penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 18 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak menegaskan hak beliau untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan saksama sudah terjejas selepas Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan peguamnya, Hisyam Teh Poh Teik menarik diri daripada rayuan kes SRC International.

“Saya ingin membuat bantahan sekeras-kerasnya berhubung prosiding rayuan hari ini, yang mana hak saya untuk hidup, kebebasan, dan perbicaraan adil berada di hujung tanduk.

”Saya tidak malu untuk mengatakan, saya terdesak, seperti mana-mana pihak yang berada dalam keadaan saya. Saya kini berada dalam situasi yang mana hak saya untuk mendapatkan nasihat dan perbicaraan yang adil adalah ilusi kerana saya membuat keputusan yang saya fikir terbaik untuk kepentingan saya pada masa itu,” katanya dalama kenyataan di sini.

Terdahulu, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengetuai panel lima hakim, berkata mahkamah sebulat suara berpendapat Hisyam “gagal mendedahkan alasan kukuh” untuk mewajarkan permohonan menarik diri.

Najib turut menolak tuduhan kononnya cuba melengah-lengahkan proses mahkamah, sebaliknya setiap permohonan yang dibuat kepada mahkamah bagi membolehkannya mendapat perbicaraan adil dan saksama.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau terpaksa melantik barisan peguam diketuai oleh Hisyam Teh Poh Teik pada saat-saat akhir selepas permohonannya untuk mendapatkan khidmat Queens Counsel (QC), Jonathan Laidlaw dalam rayuan akhirnya di Mahkamah Persekutuan ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

Jelas Najib,  perkara itu antara sebab mengapa beliau terpaksa membawa masuk khidmat peguam baharu memandangkan hanya mereka sahaja dapat tampil dengan idea baharu dan hujahan kuat pada prosiding rayuan akhirnya.

“Mana-mana peguam baharu, mereka memerlukan masa. Tindakan saya membawa masuk Jonathan adalah selepas penemuan tentang hakim Datuk Mohd Nazlan malangnya permohonan itu ditolak. Dari awal lagi, Tuan Haji Hisyam sudah memberitahu pasukannya memerlukan masa, peguam baharu perlu masa.

“Saya membuat keputusan ini juga kerana ini kehidupan saya. Saya mencuba tanpa sebarang kekurangan kerana ini tentang hidup saya. Namun permohonan yang telah dibuat beberapa kali oleh peguam baharu saya juga telah ditolak,” ujarnya.

Menurut Najib, beliau kini seolah-olah tiada peguam di mahkamah hari ini kerana peguam yang baharu dilantik tidak mampu melakukan tugas terbaik tanpa diberikan masa kerana ini merupakan sebuah kes berprofil tinggi cukup kompleks.

Hanya pihak pendakwaan mengemukakan kes.

Najib menambah, keadaan  yang mana tertuduh tiada peguam untuk mewakili kesnya sama sekali tidak pernah berlaku dalam kes berprofil tinggi seperti kes beliau.

“Perkara ini amat berat. Saya berharap mahkamah pertimbangkan hal ini dan mengambil langkah-langkah untuk membetulkan keadaan,” tegasnya.

Namun, beliau percaya, kesnya masih mempunyai kekuatan dan percaya Hisyam dan pasukannya akan melakukan tugas yang hebat sekiranya diberikan waktu yang munasabah.

“Saya masih berharap, berdoa untuk mendapat perbicaraan yang adil dan mampu menang dalam perjuangan ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast