Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika melancarkan gimik pada Majlis Pelancaran Indeks Daya Huni Malaysia (iDAM) di Zenith Hotel, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 18 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggariskan enam indikator yang menjadi kriteria utama untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berdaya huni.

Keenam-enam indikator itu adalah pembangunan ekonomi yang berdaya saing, persekitaran berkualiti dan mampan, komuniti sejahtera dan selamat, guna tanah dan penggunaan sumber berkesan, infrastruktur asas berkualiti dan tadbir urus bandar yang efisien.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, disebabkan itu pihaknya mengambil inisiatif memperkenalkan gagasan ‘Agenda Malaysia Berdaya Huni’ yang merupakan hala tuju kementerian.

“Berdaya huni ini merupakan value kepada fungsi dan peranan KPKT sebagai sebuah agensi berpaksikan rakyat.

“Bagi memaknakan lagi hasrat ini, ia tidak boleh hanya sekadar bersorak dengan slogan semata-mata…ia perlu dijadikan satu indikator gerak kerja bersama dan sebab itulah KPKT memperkenalkan Indeks Daya Huni Malaysia atau iDAM,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Pelancaran Indeks Daya Huni Malaysia (iDAM) dan penyampaian Anugerah bandar Berdaya Huni Tahun 2021 di sini hari ini.

Menurut Reezal Merican lagi, pembangunan iDAM adalah selaras dengan pengukuran dan penilaian kesejahteraan penduduk sesebuah bandar yang dipraktiskan peringkat global khususnya oleh Economist Intelligence Unit (EIU) di United Kingdom, MERCER di United States dan Monocle di Eropah.

Jelasnya, iDAM di Malaysia dimulakan dengan fasa satu yang melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Semenanjung terlebih dahulu iaitu PBT yang telah menggunakan Sistem MurniNet dengan mantap.

“Insya Allah, PBT di Wilayah Sabah dan Sarawak akan dirangkumkan dalam fasa yang seterusnya bagi membolehkan penilaian itu bersifat inklusif dan menyeluruh untuk rakyat,” tambahnya.

Katanya lagi, kerangka pengukuran iDAM dalam fasa satu itu hanya menggunakan 23 indikator dan akan diperkukuhkan sehingga 45 indikator yang dikenalpasti dalam fasa-fasa yang seterusnya. – MalaysiaGazette