KUALA LUMPUR – Individu yang dicari kerana disyaki menggunting Jalur Gemilang berdekatan Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di Jalan Ampang, di sini telah ditahan hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, lelaki itu ditahan lebih kurang 12.30 tengah hari tadi.
Suspek, 41, merupakan seorang warga tempatan dan tidak bekerja ditahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan untuk membantu siasatan lanjut polis.
”Suspek akan dimohon perintah reman pada Jumaat esok di mahkamah bagi membantu polis meneruskan siasatan kes tersebut,” katanya.
Semalam, polis menerima satu laporan seorang individu merosakkan bendera Jalur Gemilang seperti yang tular di akaun Tiktok @iekakartka_.
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki gunting Jalur Gemilang dicari polis
Rakaman berdurasi 38 saat itu dibuat oleh seorang penumpang kereta yang kebetulan melalui kawasan itu.
Perbuatan khianat lelaki itu mengejutkan warga netizen dan mendesak polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap perbuatan individu tidak dikenali itu.- MalaysiaGazette
Tak heranlah baka PKM kebal repatriasi buat perangai.