Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (lima kiri) dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim (lima kanan) berkenan untuk bersama Presiden Institut Pengurusan Malaysia Tun Hanif Mohammed Omar (empat kiri) dalam sesi bergambar di Majlis Makan Malam Gala Diraja sempena memperingati Majlis Ulang Tahun MIM ke-55 di The St Regis Kuala Lumpur malam semalam.

KUALA LUMPUR – Setiap pemimpin perlu mempunyai nilai integriti yang tinggi bagi menjamin masa depan sesebuah organisasi dan negara.

Presiden Institut Pengurusan Malaysia (MIM), Tun Hanif Mohammed Omar berkata, para pemimpin harus menjadikan bekas Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman sebagai contoh dalam menjalankan amanah dan ia juga menjadi pegangan utama MIM.

“Sebagai pemimpin negara, Tunku Abdul Rahman yang juga Bapa Kemerdekaan itu telah menunjukkan nilai integriti yang wajar dicontohi apabila menjalankan tugas sehingga mengabdikan akhir hayatnya untuk berkhidmat demi rakyat,” katanya pada Majlis Ulang Tahun ke-55 MIM di sini semalam.

Jelas Hanif, atas dasar integriti itu juga, MIM menyasarkan penglibatan orang muda untuk bersama-sama menjayakan misi organisasi itu dalam memupuk kepimpinan golongan belia.

Menurut beliau, institusi tersebut bersedia melahirkan lebih ramai golongan profesional yang mampu bersaing dalam memberikan kecekapan nilai kepimpinan dan pengurusan.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan peralihan kepada teknologi digital perlu diambil serius kerana ia terbukti melonjakkan nama MIM ke persada dunia.

“Kami telah menjalin kerjasama tempatan dan global dengan pelbagai institusi bereputasi tinggi hingga mampu bertahan dari tahun 1966 sampai kini sehinggalah adanya logo baharu yang mengukuhkan lagi institut kita,” ujarnya.

Semalam, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melancarkan logo baharu itu  bersama dengan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast