Allahyarham Toh Puan Zurina Kassim

MELAKA – Isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-6, Tun Mohd Khalil Yaakob iaitu Toh Puan Zurina Kassim, 78, meninggal dunia di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pukul 10.10 pagi tadi.

Jenazah akan dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini selepas Solat Asar.

Terdahulu, satu majlis penghormatan terakhir akan diadakan di Dewan Seri Negeri, Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh pada pukul 3.30 petang sebelum jenazah di bawa ke Makam Pahlawan.

Allahyarham Zurina dilahirkan pada 13 Julai 1944 di Duyong, Melaka dan mendirikan rumah tangga dengan Mohd Khalil ketika berusia 21 tahun pada 28 Februari 1965.

Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan tiga cahaya mata.

Ketika hayatnya, Zurina aktif dalam pelbagai bidang kebajikan antaranya adalah telah mengasaskan Yayasan Toh Puan Zurina untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Yayasan yang mengambil nama beliau itu merupakan pusat hemodialisis yang diilhamkan sendiri olehnya pada November 2009 yang mana pesakit buah pinggang boleh mendapatkan rawatan haemodialisis percuma di Kompleks Yayasan Toh Puan Zurina di Pantai Peringgit.

Sementara itu, difahamkan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Zaidi Johari akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pemergian Allahyarham kepada media petang ini.

Berita sedih itu turut dikongsikan Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron melalui status Facebook rasminya. – MalaysiaGazette