Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Gerakan Tanah Air di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 18 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad menolak tuduhan penubuhan Gerakan Tanah Air (GTA) yang menggabungkan empat parti akan memecah belahkan orang Melayu di negara ini.

Mantan Perdana Menteri yang juga Presiden GTA itu berkata, gabungan itu bukan pertubuhan parti politik sebaliknya sebuah gerakan yang membela orang Melayu menghadapi banyak masalah selama ini.

“Ada tuduhan mengatakan kita memecahbelahkan orang Melayu kerana penubuhan gerakan ini. Ini tidak benar kerana apabila kita tubuh gerakan ini kita cantumkan empat buah parti politik Melayu.

“Parti ini akan berada dalam GTA dan bermakna dalam pilihan raya nanti, mereka tidak lawan sesama mereka dan kita akan sokong calon yang terdiri daripada GTA,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat GTA di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Gerakan Tanah Air di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 18 OGOS 2022.

Turut hadir, Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali; Presiden Parti Berjasa, Zamani Ibrahim dan Parti Iman, Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.

Mengenai agenda mesyuarat, Dr. Mahathir berkata, mereka berbincang mengenai logo GTA yang akan digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Kata beliau, logo itu akan dihantar kepada Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) untuk mendapat kelulusan.

“Dalam mesyuarat ini kita telah bersetuju supaya nama kita ini menekankan tanah air lebih daripada yang lain. Jadi akan diadakan satu logo yang namanya Tanah Air.

“Tetapi kita belum putuskan lagi, namun cara nak buat logo ini sudah kita bersetuju dan kita akan buat perancangan rekabentuk baru dan saya ingat minggu depan akan kita putuskan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan beberapa senarai jawatan dalam GTA untuk melengkapkan pendaftaran kepada RoS nanti.

Jawatan itu ialah Bendahari dipegang oleh Datuk Mohamad Ismail dari Parti Iman; Ketua Penerangan, Datuk Nizam Mahshar (NGO); Sayap Wanita GTA, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim (Pejuang), Sayap Pemuda, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif dan Sayap Pemudi, Azliza Rajain (Berjasa).

Beliau menjelaskan, pengurusan GTA bukan sahaja terdiri daripada parti politik tetapi NGO dan orang perseorangan.

“Kita mewakili orang Melayu tetapi bukan semua orang Melayulah. Kita tak mewakili orang Melayu yang ada masalah dengan mahkamah yang dikenal pasti sudah terlibat dengan jenayah atau sebagainya. Mereka ini tak terlibat dengan kita.

“Kita telah satukan orang Melayu tapi taklah semua orang Melayu. Mereka adalah dari Putra, Berjasa, Iman dan Pejuang.

“Sekarang ini kita berjaya mencantumkan parti politik Melayu yang biasanya berlawan sesama sendiri, kali ini kita tak berlawan sesama sendiri. Kita bersatu bawah satu gerakan,” katanya. – MalaysiaGazette