Mahdzir Khalid (kanan) dan Sulaiman bergambar bersama sebahagian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri dan Pengerusi JPKK pada Majlis Penyampaian Watikah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Melaka 2022 di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka hari ini.

MELAKA – Hanya 127 daripada 28,303 kampung di seluruh negara atau 0.45 peratus memenuhi kriteria pertandingan Aspirasi Kampung Sejahtera bagi melonjak pembangunan kawasan luar bandar.

Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebahagian besar lagi kampung masih belum mencapai peratusan untuk melayakkan mereka menyertai pertandingan itu.

“Itu (127 kampung) yang dia (ketua kampung) rasa sudah cukup elemen layak menjadi Kampung Sejahtera.

“Kampung yang lain tu mungkin ada elemen layak tapi tak cukup, makna kata dia belum ada kreativiti lagi walaupun dari segi prasarana disediakan memang sudah cukup,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Melaka 2022 bersama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.

KPLB memperkenalkan Aspirasi Kampung Sejahtera bagi melonjak pembangunan kawasan luar bandar dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat kampung khususnya aspek ekonomi sekaligus mencapai aspirasi yang dirumus dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) iaitu Wawasan Luar Bandar Yang Sejahtera, Inklusif, Mampan dan Holistik menjelang 2030.

Untuk rekod, ketika ini Malaysia mempunyai 28,303 kampung membabitkan 19,447 kampung di Semenanjung Malaysia, 5,976 kampung di Sarawak, 2,853 kampung di Sabah dan 27 kampung di Labuan.

Mengulas lanjut Mahdzir berkata, berdasarkan kajian kementeriannya, kebanyakan kampung mempunyai elemen ‘sejahtera’ namun masih belum mencapai peratusan bagi lima elemen yang ditetapkan.

“Elemen pertama adalah prasarana yang disediakan kerajaan adakah ia mencukupi atau tidak, kedua kepimpinan ketua seperti berapa banyak program diadakan dalam setahun untuk penduduk kampung.

“Kemudian, elemen keusahawanan berapa ramai peniaga kecil di kampung dan akhir sekali keselamatan kampung apakah ada kerjasasama dengan polis dan kalau semua lima elemen ini dipenuhi, barulah layak disebut Kampung Sejahtera,” katanya.

Tambahnya, ada Pengerusi JPKK menulis surat kepada beliau memaklumkan kampungnya sudah mencapai Kampung Sejahtera namun bila disemak, masih ada lagi kekurangan elemen kreativiti dan kepimpinan.

“Contoh dia kata, ada rekod 16 orang anak orang kampung masuk universiti tapi bila tanya pernah tak buat kenduri kesyukuran untuk meraikan, tak ada. Jadi itu maksud saya tiada kreativiti,” katanya.- MalaysiaGazette