Peguam, Datuk Zaid Ibrahim hadir ke Mahkamah Persekutuan pada prosiding rayuan akhir yang melibatkan anak guamnnya, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi kes sabitan dan hukuman penjara penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 16 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Peguam, Datuk Zaid Ibrahim menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memasukkan bukti yang relevan dalam rayuan akhir kes SRC International sebagai sesuatu yang sukar dipercayai.

Menurut beliau, permohonan itu dibuat atas dasar memastikan kebenaran dapat ditegakkan dan keadilan dilaksanakan.

Zaid berkata, permohonan tersebut bertujuan menunjukkan tentang konflik kepentingan yang didakwa melibatkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

“Beliau tidak sepatutnya menjadi hakim dalam kes SRC International. Adalah jelas bagi kami bahawa halangan yang dihadapi Najib merupakan ketidakadilan yang serius berpunca daripada kesilapan undang-undang dan menjejaskan usaha untuk memastikan beliau mendapat haknya seperti yang termaktub dalam perlembagaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Selasa lalu, lima panel hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu memasukkan bukti baharu serta cubaan menangguhkan prosiding akhir rayuan berkaitan penyelewengan dana SRC International.

Pada masa yang sama, Zaid berkata, beliau menghormati keputusan Najib menggugurkan menamatkan perkhidmatan firma guamannya, Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) pada detik-detik kritikal dalam kes berkenaan.

Menurut beliau, firmanya memahami bahawa Najib perlu melakukan yang terbaik untuk dirinya.

“Saya menegaskan kembali kenyataan terdahulu bahawa firma saya tidak akan meninggalkan Najib sebagai anak guam kami. Itu bukan budaya atau tradisi kami.

“Namun, tuntutan situasi semasa yang luar biasa menyebabkan kami perlu mengikut keperluan anak guam. Kepentingan anak guam diutamakan.

“Saya mendoakan yang terbaik untuk Najib. Saya akan sentiasa membantunya dalam apa jua keadaan, sebagai peguam dan sahabat,” jelasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kali pertama mendengar pihak mahkamah menolak bukti baharu yang ingin dihujahkan oleh peguam?

    Sepatutnya pihak mahkamah dengar dahulu apa yang peguam bela ingin hujahkan! Adakah mereka juga telah menjadi pendakwaraya kedua?

Comments are closed.