KUANTAN- Mayat seorang kru bot nelayan tempatan yang disyaki lemas setelah terjatuh ke laut di perairan Pulau Layak, Rompin ditemui jam 9.06 pagi ini.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, mayat mangsa ditemui oleh bot nelayan tempatan kiora-kira 8.4 batu nautika timur laut Kuala Endau, Rompin.

Mangsa Heng Kai San, 48, disedari hilang semasa bot dalam perjalanan pulang pada kedudukan 2.2 batu nautika timur laut Kuala Endau, Rompin pada jam 8.30 pagi dua hari lalu.

“Mayat telah dibawa oleh Bot RH21 Pasukan Polis Marin (PPM) ke Jeti PPM Teluk Gading seterusnya dibawa ke Hospital Rompin untuk tindakan selanjutnya.

“Pengecaman mayat telah dibuat dan disahkan oleh bot tersebut. Operasi CARILAMAT ditamatkan  pada jam 10.30 pagi ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Jelasnya Maritim Negeri Pahang telah menyalurkan maklumat kepada MRSC Johor dan aset udara Maritim Malaysia bagi mendapatkan bantuan mengesan mangsa dengan keluasan sektor pencarian sasaran merangkumi 27.84 batu nautika persegi.

Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) ditamatkan setelah Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan menerima maklumat dari Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) mengenai pertemuan mangsa.

Sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan dan kegiatan jenayah di laut boleh menyalurkannya dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast