Ismail Sabri Yaakob. Foto MOHD ADZLAN, 19 OGOS 2022.

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin pelabur asing akan terus berminat dengan negara ini hasil polisi dan dasar yang dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata, keyakinannya adalah berdasarkan rekod nilai Pelaburan Langsung Asing (FDI) negara untuk tempoh sehingga Jun lalu iaitu sebanyak RM74.1 bilion.

“Jumlah ini sekali gus mengatasi jumlah FDI tahunan pada tahun 2021, 2020, 2019 dan 2018,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Selangor di Tapak Karnival, Perkarangan Stadium Shah Alam.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar.

Menurut Ismail Sabri, hasil komitmen kerajaan  menyaksikan  ekonomi negara antara yang terbaik di Asia Tenggara dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 8.9 peratus bagi suku kedua tahun ini.

Tambah beliau, kerajaan juga telah membelanjakan RM77.3 bilion peruntukan subsidi yang merupakan jumlah subsidi terbesar dalam sejarah meliputi  petrol, diesel, LPG, minyak masak, tepung dan elektrik.

Katanya, Malaysia turut mencatatkan pertumbuhan perdagangan borong dan runcit yang kukuh, tahun ke tahun sebanyak 44 peratus kepada RM132.8 bilion pada Jun 2022.

Ini merupakan paras tertinggi sejak tahun 2013, dengan lonjakan besar dalam jualan kenderaan bermotor, ujarnya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan komited  melaksanakan pelbagai strategi jangka pendek, sederhana dan panjang untuk memastikan usaha memulihkan ekonomi dapat dikecapi.

Ujar beliau, usaha-usaha kerajaan ini digerakkan melibatkan  kerjasama semua kementerian, kerajaan negeri, agensi-agensi Kerajaan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh Keluarga Malaysia bagi memulihkan ekonomi negara.

Tambah beliau, kerajaan tidak akan berpeluk tubuh bagi membantu rakyat menghadapi isu kos sara hidup dan inflasi.

“Selepas diuji pandemik, dunia kini berhadapan dengan pelbagai cabaran baharu dan paling genting ialah perubahan iklim, ketegangan geopolitik dan konflik Rusia-Ukraine.

“Gabungan semua faktor adalah antara punca kepada kenaikan harga barangan sehingga mengakibatkan kos sara hidup meningkat,” katanya. – MalaysiaGazette