IMBAS KEMBALI.Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi melawat gerai jualan pada Majlis Pelancaran Program Jualan Keluarga Malaysia di Dataran Perpustakaan Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 02 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) telah diperluaskan ke 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara selepas menerima sambutan luar biasa daripada rakyat agar program itu diteruskan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam satu kenyataaan hari ini berkata, PJKM juga telah dijenamakan semula dan dikenali sebagai Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) selepas ini.

“PJKM amat menggalakkan di seluruh Malaysia sejak ianya dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 Disember 2021.

“Berdasarkan kepada pengunjung yang ditemuramah, rata-rata meminta PJKM ini diterus dan diperluaskan untuk dimanfaatkan oleh rakyat kebanyakan terutama di luar bandar.

“Sebagai Kerajaan yang prihatin yang sensitif dengan denyut jantung Keluarga Malaysia melalui Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi (PKJTI), PJKM kini telah dijenamakan semula menjadi Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) dan diperluaskan ke kesemua 600 DUN seluruh negara dan 13 Parlimen di Wilayah Persekutuan,” kata KPDNHEP di dalam kenyataan hari ini.

Antara barangan yang terdapat di pasar raya sempena Kempen Jualan Keluarga Malaysia di Pasar Raya Besar AEON Big Ampang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 16 JANUARI 2022.

Malah jelasnya, pelaksanaan JMKM akan diterajui oleh lima kementerian iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Wilayah Persekutuan (KPLB).

Justeru kata KPDNHEP, JMKM dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM80 juta oleh kerajaan dan setiap kawasan DUN yang terlibat akan diberikan agihan dana secara sama rata iaitu RM25,000 sebulan untuk setiap pelaksanaan JMKM bagi tempoh 15 Ogos ini hingga 31 Disember 2022.

“Peruntukan ini digunakan untuk memberikan harga diskaun kepada barangan keperluan terpilih seperti ayam, ikan dan hasil laut, telur, ayam, gula, minyak masak, tepung gandum, beras, sayur-sayuran serta buah-buahan.

“Selain daripada barangan keperluan harian, premis juga sangat digalakkan untuk memberi diskaun sehingga 20 peratus harga pasaran setempat dan JMKM ini dilaksanakan sekurang-kurangnya dua kali sebulan di setiap DUN,” kata kementerian itu lagi.

Tegasnya, pelaksanaannya dilihat sebagai satu usaha kerajaan membantu ahli Keluarga Malaysia meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

KPDNHEP juga akan melaksanakan JMKM di tiga negeri iaitu Sarawak, Terengganu dan Johor merangkumi 170 DUN mulai 19 Ogos 2022.

Orang ramai boleh mendapatkan informasi terkini pelaksanaan JMKM di lokasi terpilih melalui laman facebook rasmi Jualan Murah Keluarga Malaysia atau fb KPDNHEP Laman Rasmi Dan KPDNHEP negeri negeri terbabit.

KPDNHEP pada masa yang sama mahu semua peniaga untuk terus berperanan dalam mengawal inflasi dengan tidak mencatut dan tidak menaikkan harga barangan sesuka hati tanpa alasan yang munasabah.

Orang ramai boleh menyalurkan sebarang pertanyaan dan aduan secara terus ke KPDNHEP melalui talian WhatsApp di 019-279 4317 atau 019-848 8000, aplikasi ez-Adu atau email ke [email protected]. – MalaysiaGazette