Hamidah memegang laporan polis yang dibuat berhubung dakwaan suami Ketua Hakim Negara pembenci Najib di Putrajaya semalam.

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman membuat laporan polis berkaitan dakwaan suami kepada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat baru-baru ini.

Menurutnya,  polis harus menyiasat perkara tular di media sosial yang mendakwa suami Tengku Maimun pembenci bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ia dakwa Hamidah turut menyentuh integriti kehakiman negara.

“Demi integriti kehakiman negara. Dalam soal ini bila suami dia seorang aktivis politik yang anti Najib apa yang dia buat dalam Facebook peribadi menimbulkan persoalan sejauhmana kita yakin bahawa dia (Tengku Maimun) tidak dipengaruhi suami dia.

“Contohnya dalam kes Rosmah, di bawa ke mahkamah rakaman suara Rosmah kononnya memarahi Najib. Itu dilihat Rosmah sebagai mempengaruhi Najib.

“Tapi dalam soal ini, sejauhmana kita yakin sistem kehakiman kita telus jika suami hakim sendiri adalah seorang yang anti Najib?” soalnya.

Hamidah membuat laporan di Balai Polis Presint 7 Putrajaya semalam dan laporan itu disahkan oleh pihak polis.

Jelas Hamidah, jika dakwaan itu benar, Tengku Maimun perlu digugurkan atau menarik diri daripada mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan berkaitan kes Najib yang sedang berlangsung ketika ini.

“Demi integriti sistem kehakiman perkara ini perlu disiasat dan Tengku Maimun perlu digugurkan daripada menjadi salah seorang hakim perbicaraan Najib.

“Pada saya, soalnya sistem kehakiman negara perlu telus dan dilihat telus. Saya bertindak sebagai rakyat yang mahu integriti sistem kehakiman terpelihara” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Semalam tular di media sosial  seorang lelaki bernama Zamani Ibrahim yang dikatakan suami kepada Tengku Maimun.

Beliau telah membuat satu hantaran di Facebook memperlihatkan dirinya sebagai pembenci tegar kepada Najib.

“Saya percaya link Facebook Zamani Ibrahim selaku suami Tengku Maimun berupaya mencalarkan intergriti dan imej sistem keadilan negara apatah lagi ianya berlaku di peringkat mahkamah tertinggi sistem keadilan negara.

“Bagaimana boleh kita yakini penghakiman yang dibuat oleh Tengku Maimun benar-benar telus dan adil tanpa dipengaruhi oleh suaminya?

“Sementelah lagi isi kandungannya secara munasabah berupaya membawa kepada tafsiran yang penulis (suami Tengku Maimun) merupakan seorang yang suka Datuk Seri Najib jatuh,” katanya  dalam laporan itu.

Selasa lalu Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib memasukkan bukti tambahan membabitkan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menerusi rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Permohonan pasukan peguam baharu Najib Razak yang minta diberi masa untuk membuat persiapan bagi rayuan kes SRC International turut ditolak.

Tengku Maimun hari menolak permohonan ketua pembelaan Najib, Hisyam Teh Poh Teik yang sekali lagi meminta penangguhan.

Susulan itu Hisyam mahu mengecualikan dirinya dari mewakili bekas Perdana Menteri itu namun turut ditplak oleh Tengku Maimun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Adakah ini juga merupakan perbuatan atau amalan conflict of interest? Hakim2 disaran supaya tidak mempunyai unsur2 atau niat kebencian melampau dalam mendengar kes?

    Dengan kecanggihan pasukan computer forensic diharap pihak polis dapat menyiasat perkara ini dengan segara! Ianya dilihat AMAT SERIUS!

Comments are closed.