Seramai 7 wanita asing yang dijadikan buruh paksa oleh majikan tiga suspek tempatan diselamatkan polis semalam.Ihsan IPD Cheras Selatan

KUALA LUMPUR – Tujuh wanita warga asing yang dijanjikan pekerjaan tukang cuci dengan gaji lumayan sebelum dieksploitasi sebagai buruh paksa diselamatkan polis dalam operasi yang dilakukan di Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, Bahagian D3 (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman telah menjalankan satu risikan dan operasi eksploitasi buruh paksa yang aktif di Klang sejak awal Ogos berjaya mengenalpasti mangsa.

Katanya, bertindak atas hasil risikan, pasukan ATIPSOM Bukit Aman, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan serta Jabatan Tenaga Kerja Cawangan Klang telah menjalankan operasi eksploitasi buruh paksa di kawasan Bandar Botanic 2, Klang semalam.

“Semasa serbuan dijalankan, pihak polis berjaya menangkap tiga orang suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang perempuan warga tempatan berusia lingkungan 33 hingga 67 tahun yang merupakan majikan.

“Pemeriksaan lanjut dalam serbuan sama berjaya membawa kepada tangkapan ke atas seramai 15 orang perempuan warga asing yang mendapati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Dalam operasi ini, polis juga berjaya menemui dan menyelamatkan seramai tujuh lagi perempuan warganegara asing di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Menurut Hoong Fong, kesemua mangsa berumur dalam lingkungan 30 hingga 43 tahun dan siasatan mendapati mangsa terdedah kepada eksploitasi kerja paksa di sebuah rumah di kawasan Bandar Botanic.

“Siasatan awal membongkar jenayah majikan berkenaan apabila kesemua mangsa telah dijanjikan pekerjaan tukang cuci di syarikat yang sah dan mempunyai kontrak kerja serta permit kerja yang sah semasa berada di negara asal.

“Malangnya, setelah sampai di Malaysia, kesemua mangsa telah dipaksa bekerja sebagai tukang cuci harian yang dihantar daripada rumah ke rumah, pejabat, kilang dan tadika selain mereka juga telah diarahkan tinggal serumah bersama majikan dan ahli keluarganya.

“Lebih mengejutkan, pergerakan setiap mangsa buruh paksa itu turut dikawal ketat kerana pasport dan telefon bimbit mereka dirampas, dipegang oleh majikan serta tidak dibenarkan keluar dari rumah tanpa kebenaran sebelum mereka sedar akan ditipu dan dijerat oleh janji agen dan majikan mereka,” ujar beliau.

Hoong Fong berkata, Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, kesemua suspek reman selama enam hari hingga 25 Ogos ini. – MalaysiaGazette