LCS BN
Kapal Tempur Pesisir (LCS1) yang masih dalam pembinaan sebanyak 60 peratus semasa lawatan media di Boustead Naval Shipyard (BNS), Lumut, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 13 OGOS 2022.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mempersoalkan keberkesanan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) dalam memperkasakan industri pertahanan negara.

Naib Presiden parti tersebut, Zaidel Baharuddin berkata, ini kerana kos untuk membeli peralatan LCS melibatkan jumlah wang banyak.

“Pertamanya ingin ditegaskan bahawa Muda menyokong sebarang inisiatif yang memperkasakan industri pertahanan negara, ini tidak dipersoalkan. Wajar dan wajib kita memperkasakan industri ini supaya tidak bergantung kepada pihak luar khususnya dalam waktu peperangan.

“Malangnya, dengan lebih dari RM6 bilion yang dibelanjakan melalui projek LCS adakah ianya mencapai matlamat ini?,” soal beliau.

Dalam masa yang sama, beliau mempertikaikan penglibatan syarikat dan pembekal luar dalam projek berkenaan.

“Tetapi dalam pelbagai skandal yang muncul dalam isu LCS ini, kebanyakannya melibatkan syarikat dan pembekal luar.

“Contoh paling ketara ialah pertuduhan pecah amanah yang melibatkan bekas pengerusi Boustead, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor, kesemua pertuduhan melibatkan pembayaran kepada syarikat berpengkalan di Singapura,” tambahnya.

Zaidel berkata, Kementerian Pertahanan perlu menjelaskan apakah kapasiti tempatan yang berjaya dibina melalui projek berkenaan.

Dalam masa yang sama beliau turut menggesa kementerian tersebut menerangkan sama ada keupayaan kejuruteraan tempatan digunakan. – MalaysiaGazette