Datuk Mohd Shahar Abdullah

KUALA TERENGGANU – Kerajaan memberi jaminan Bajet 2023 yang akan dibentangkan Oktober ini, bersifat dinamik dan lebih fleksibel.

Timbalan Menteri Kewangan l, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, agenda kesejahteraan rakyat terutama dalam aspek ekonomi dan perlindungan sosial, sentiasa diambil kira dan menjadi keutamaan kerajaan termasuk dalam penyediaan formula Bajet 2023.

Justeru, sebarang penambahbaikan atau pelarasan semula bajet boleh dilaksanakan, sekiranya ia didapati mempunyai lompang atau kelemahan.

“Kita ada pengalaman pada 2021 apabila, kita bentangkan bajet untuk perusahaan mikro dan sederhana, tetapi jumlah itu tidak cukup dan perlu ditambah semula.

“Jadi saya nak beritahu bahawa Bajet 2023 ini nanti adalah bersifat dinamik dan tidak statik. Walaupun kita dah bentang dan dapati tidak memenuhi kepentingan rakyat, boleh dilakukan penambahbaikan kerana yang paling penting, hasrat rakyat tercapai dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Makan Malam dan Sesi Libat Urus Bersama Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Pertubuhan Warisan Pendidikan Negeri Terengganu (PEWARIS) Sempena Jelajah Bajet 2023, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin, di sini malam tadi.

Terengganu merupakan negeri ketiga yang dilawati selepas Johor dan Kelantan.

Dalam pada itu, Mohd Shahar berkata, kerajaan juga terbuka kepada sebarang sebarang kritikan dan lontaran idea yang bersifat kritikal, dalam penyediaan bajet 2023.

Beliau berkata, ia bagi memastikan bajet 2023 yang dibentangkan nanti, berasaskan fakta dan mengutamakan denyut nadi rakyat.

“Sebab itu kita turun untuk dengar sendiri komen dan idea daripada rakyat akar umbi. Kita tak mahu dengar komen bersifat ‘kosmetik’ sekadar jaga hati kerajaan,” katanya. – Bernama