NEW DELHI – Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan mendakwa satu daripada pegawai parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) yang ditahan di Islamabad baru-baru ini telah didera secara seksual.
Shahbaz Gill yang juga penasihat Imran telah ditahan pada 9 Ogos selepas polis mendapati komennya mengenai tentera yang disiarkan di televisyen ARY dianggap berbaur “hasutan”.
Pada Jumaat Imran menerusi media sosial memuat naik semua gambar dan video menunjukkan dengan jelas Gill didera mental dan fizikal serta secara seksual yang pada beliau satu perbuatan “amat mengerikan”.
“Dia telah dimalukan. Saya ada maklumat terperinci. Polis ICT (di Islamabad) mengatakan mereka tidak melakukan sebarang penderaan. Jadi soalan saya ialah: Siapa yang mendera Gill?”.
“Kami akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan,” ciap Imran di Twitter.
Imran juga dikatakan telah dihalang untuk melawat Gill yang dirawat di Institut Sains Perubatan Pakistan (PIMS) Islamabad.
Gill yang dikawal rapi anggota polis dilihat berkerusi roda dan terpaksa menerima bantuan oksigen.
“Jika seorang petugas politik (seperti Gill) boleh didera sedemikian maka tidak mustahil perkara itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,” kata Imran kepada pemberita di luar perkarangan hospital.
PTI serta penyokongnya dengan kerjasama ARY dan saluran media lain, mengadakan bantahan di seluruh negara pada Sabtu menuntut Gill dibebaskan. – Bernama