KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang dalam fasa akhir untuk melaksanakan pengesanan muatan kenderaan dagangan melalui teknologi High-Speed Weigh-in-Motion (HS WIM).

Menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim, teknologi baharu itu dilaksanakan hasil sokongan agensi lain dan pemain industri seperti PLUS Malaysia Berhad.

Jelas beliau, usaha ini sebagai salah satu langkah bagi menangani isu keselamatan jalan raya oleh kenderaan berat.

“Ini berikutan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melaporkan peningkatan hampir 30 peratus kemalangan membabitkan kenderaan barangan pada tempoh Januari hingga Jun tahun ini berbanding tahun 2021.

“Pembangun teknologi juga disaran untuk turut serta dalam menghasilkan produk teknologi yang dapat membantu memperkuat kawalan ekosistem yang berteraskan budaya selamat,” katanya pada persidangan Heavy Vehicle Technology and Safety (HEVTEC) 2022 anjuran Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Datuk Dr. Khairil Anwar Abu Kassim berkata, teknologi canggih perlu diperkenalkan bagi mewujudkan neraca ‘ganjaran dan hukuman’ yang seimbang, serta membetulkan posisi atau etika pemanduan.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan PLUS Malaysia, Datuk Azman Ismail berkata, pihaknya komited menyediakan infrastruktur lebuh raya yang selamat kepada para pengguna.

“Program berteraskan pengguna komersial seperti PLUSTrack merupakan salah satu usaha PLUS untuk mendekatkan pihak penyedia lebuhraya dengan pengguna dalam situasi mempromosikan budaya selamat dan perjalanan selamat.

“Sebagai penaja utama HEVTEC 2022, pihak PLUS akan sentiasa menyokong pendekatan keselamatan di semua peringkat termasuk pengurusan pertengahan serta para pemandu,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast