Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke Mahkamah Persekutuan pada prosiding kes rayuan akhirnya berkaitan sabitan dan hukuman penjara penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 19 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini membuat satu coretan hatinya menerusi akaun Facebook beliau.

Tulisan bersama gambar beliau sedang duduk mengambil wuduk menarik perhatian pengikut-pengikutnya.

Dalam nada sayu, Najib berkata menulis;

”Perjalanan hidup setiap insan berbeza.
Kita sentiasa doakan dan harap yang terbaik  dalam kehidupan kita.
Ada kalanya kita merasa usaha dan kebaikan yang kita lakukan sia-sia.
Ada kalanya kita merasa susah hati dengan ujian dan dugaan.
Dengan fitnah dan penganiayaan.
Dengan harapan yang diakhiri dengan kegagalan.
Dengan keikhlasan yang dibalas dengan pengkhianatan.
Ada kalanya kita merasa kita … keseorangan”.

Luahan hati bekas Perdana Menteri itu  mendapat 26,000 respons sebaik sahaja ia dimuat turun dengan rata-rata pengikutnya meletakkan ikon ‘sedih’.

Sehingga berita ini ditulis, posting itu mendapat 6,500 komen dan dikongsi 673.

Kebanyakan mereka menitipkan kata-kata semangat buat Ahli Parlimen Pekan itu untuk terus berjuang dan tidak berputus asa dengan dugaan yang sedang dihadapinya.

Nukilan hati yang ditulis Najib itu dipercayai ada kaitan rapat dengan prosiding rayuan akhir sabitan hukuman penjara dan denda membabitkan kes penyewelengan dana SRC RM42 juta di Mahkamah Rayuan.

Beberapa hari lalu, Najib mendakwa harapannya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil sudah dihujung tanduk.

Ini kerana permohonan demi permohonan yang dikemukakan oleh peguam belanya, Hisyam Teh Poh Teik ditolak Mahkamah Persekutuan termasuklah usahanya untuk memasukkan bukti baharu kes itu selain membuat penangguhan masa.

“Saya kini secara realiti, tidak mempunyai peguam bela dan tidak boleh untuk menghujahkan pembelaan. Saya percaya, saya mempunyai kes yang kuat dan credible (dipercayai) serta saya juga percaya bahawa Hisyam dan pasukannya sekiranya diberikan waktu yang munasabah akan melakukan tugas hebat,” katanya.

Prosiding akhir rayuan dijangka akan bersambung Selasa ini di hadapan lima hakim diketuai oleh Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan segala kemungkinan akan berlaku pada hari itu.

Selepas perbicaraan selama 79 hari antara 3 April 2019 hingga 11 Mac 2020, yang menyaksikan 86 saksi memberi keterangan, Najib pada 28 Julai 2020 disabitkan bersalah oleh hakim perbicaraan Datuk Mohd Nazlan Ghazali atas semua tuduhan dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast