Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Bajet 2023 yang dibentang Oktober ini akan menyentuh setiap segmen masyarakat dengan fokus mempersiapkan setiap daripada mereka dalam menghadapi cabaran ekonomi dunia yang dijangka lebih ‘suram’ tahun hadapan.

Perdana Menteri berkata ketika ini proses libat urus bagi penyediaan bajet sedang berlangsung dan akan melibatkan banyak pihak.

“Kita akan jumpa semua termasuk pembangkang. Semua kita akan jumpa, persatuan, komuniti perniagaan, peladang, penternak, semua sekali. Perundingan bajet akan diadakan minggu depan,” katanya dalam temu bual Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia bersama Perdana Menteri di Seri Perdana di sini.

Hari ini genap setahun Ismail Sabri menerajui kerajaan Keluarga Malaysia.

Pada 15 Ogos, Ismail Sabri berkata Bajet 2023 antara lain akan terus memberi penekanan kepada kebajikan Keluarga Malaysia. Ia juga akan mengambil kira kesediaan negara berdepan kemungkinan keadaan ekonomi global yang lebih mencabar berbanding sebelum ini.

Julai lepas, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Kristalina Georgieva berkata IMF menjangka keadaan ekonomi global akan terus sukar pada 2022 dan 2023 dengan risiko kemelesetan semakin meningkat.

Menurut IMF, keseluruhan prospek disifatkan sebagai “amat tidak menentu,” dan kadar inflasi akan meningkat tinggi yang menyebabkan bank-bank pusat ekonomi utama melaksanakan dasar monetari lebih ketat.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata beliau yakin pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat nanti akan mendapat sokongan penuh pembangkang kerana ia merupakan satu daripada intipati yang ditandatangani kedua-dua pihak dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

“Bajet, dari segi MoU dia (pembangkang) mesti sokong kita. Proses yang sama seperti bajet tahun lepas, dia akan sokong sebab itu dari segi MoU, kecuali kalau pilihan raya sebelum Bajet,” katanya.

MoU berkenaan yang ditandatangani September tahun lepas bertujuan membawa kestabilan dan dimensi baharu politik negara. Tiada tarikh tamat ditetapkan dan kedua-dua pihak setuju bekerjasama dan sokongan akan diberi kepada perdana menteri sehingga Parlimen dibubarkan.

— BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast