Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar

PUTRAJAYA – Hukuman sebat yang masih dilaksanakan di negara ini dianggap keterlaluan dan perlu dikaji semula.

Oleh itu, Malaysia tidak perlu terus mengamalkan undang-undang kolonial yang diwarisi ketika ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya, di England, hukuman sebat tidak lagi dilaksanakan dan disebabkan itu hukuman kepada pesalah dalam apa juga kesalahan yang dilakukan membabitkan hukuman sebat perlu dikaji semula.

“Kenapa orang Malaysia disebat sedangkan orang-orang di England tak disebat?

“Kalau dia tak disebat, kenapa kita sebat…padahal dua atau tiga kali sebat, daging dah melecur. Jadi, dalam keadaan sedemikian saya berpandangan bahawa terdapat persoalan dalam isu sebatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Simposium Keluarga Malaysia ‘Pencapaian dan Harapan’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Simposium itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, ketika ini gantian kepada hukuman sebat atau mengurangkan sebatan belum lagi diputuskan dan satu jawatankuasa perlu ditubuh untuk mengkaji perkara-perkara teknikal.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kuasa hakim untuk menentukan hukuman terhadap pesalah yang melakukan kesalahan kejam, Wan Junaidi berkata, pilihan boleh dibuat oleh hakim yang mengendalikan prosiding untuk menggunakan budi bicara masing-masing.

Katanya, hakim boleh menentukan hukuman yang hendak dijatuhkan namun, jika hukuman yang dipilih adalah sebat, jumlah sebatan itu tidaklah boleh melebihi daripada yang ditentukan.

“Betul, biar hakim tentukan. Kalau latarbelakang orang (penjenayah) itu teruk…mendera, menganiaya dan sebagainya, hakim boleh gunakan budi bicara. Jadi kita jangan menolak segalanya,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya pada simposium berkenaan Wan Junaidi membangkit perkara itu untuk diteliti.

Beliau berharap agar terdapat mekanisme terbaharu yang boleh diguna pakai berhubung isu hukuman sebat berkenaan. – MalaysiaGazette