TELUK KUMBAR – Seorang pemuda ditemui lemas selepas hanyut dibawa arus ketika mandi bersama enam rakannya di Pantai Tanjung Asam di sini, semalam.
Mayat S. Thanaselan, 20, ditemui nelayan dalam keadaan terapung kira-kira 600 meter dari kawasan pantai pada jam 9.25 pagi tadi.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan penemuan mayat mangsa daripada Pangkalan Hadapan Carilamat yang ditubuhkan di Tanjung Manis, Gertak Sanggul.
“Mangsa yang menetap di Padang Tembak, Air Itam di sini, dilaporkan hanyut dibawa arus kira-kira jam 2.30 petang semalam ketika sedang bermandi bersama lima lagi rakannya di Pantai Tanjung Asam.
“Operasi pencarian pagi ini membuah hasil apabila mangsa berjaya ditemui tidak jauh daripada lokasi dia dilaporkan dilihat kali terakhir.
“Nelayan yang menemui mayat mangsa menyerahkannya kepada pihak bomba yang turut bersama dalam operasi pencarian tersebut sebelum dibawa ke darat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah Abd Razak, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat selepas pihak keluarga melakukan pengecaman.
“Operasi tamat sepenuhnya jam 12.10 tengah hari,” ujar beliau.
Sementara itu, Rakan mangsa, A. Meheshwaran, 24, berkata, kehilangan mangsa semalam disedari selepas kesemua mereka yang sedang mandi bersepakat naik ke pesisiran pantai susulan cuaca hendak hujan.
“Sebaik lima kami naik ke pesisiran pantai baru kami sedar Thanaselan tiada bersama.
“Kami memanggil namanya namun tidak kelibat sebelum mengesyaki dia dihanyutkan ombak kerana kali terakhir dia dilihat sedang mandi beberapa meter dari pesisir pantai.
“Kami kemudian menghubungi talian kecemasan dan ibu bapanya bagi memaklumkan mengenai kejadian,” katanya ketika ditemui di sini. – MalaysiaGazette