KUALA LUMPUR – Parti Tindakan Demokratik (DAP) tidak menafikan antara kaedah paling berkesan untuk meraih sokongan pengundi di negara ini adalah menerusi tindakan mempolitikkan isu agama dan memainkan isu perkauman.
Timbalan Setiausaha Agung DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, propaganda umat Islam tertindas dan kaum Melayu terpinggir antara retorik yang sering dimainkan oleh pemimpin yang terdesak dan oportunis.
Beliau mendakwa, pemimpin seperti itu akan sanggup bekerjasama dengan golongan bukan Islam jika kepentingan politik mereka tercapai.
“Jika golongan golongan ini menjadi halangan, tanpa segan silu, rasa malu serta bersalah, mereka akan melabelkan golongan ini sebagai kafir harbi, munafik serta terkeluar daripada Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, lebih dikesali apabila pemimpin utama Pas sering mencemuh bukan Islam terutamanya dalam DAP dan ianya sudah menjadi satu trend parti Islam itu menyalahkan parti pelbagai kaum itu.
“Mengapa trend tersebut seolah-olah ‘direct attack’ hanya kepada DAP? Pemimpin Pas cuba mengalihkan isu yang membelenggu masalah parti mereka sendiri begitu juga dengan UMNO dan Bersatu.
“Mereka merasakan main dua kolam lebih selamat dan boleh makan kedua-dua parti tersebut.
“Justeru, perpecahan parti Melayu ini membuat mereka untuk mengalihkan perhatian rakyat kepada DAP yang dilihat lebih ke hadapan bersama-sama komponen Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Katanya, Pas sedar mereka bersama parti yang terpalit dengan skandal besar seperti 1MDB, ketirisan perbelanjaan aset keselamatan negara bernilai berbillion ringgit dan salah guna kuasa dengan kluster mahkamah.
“Pas juga tahu Bersatu tidak sekuat UMNO dan tidak berminat dengan Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Strategi Pas untuk memastikan Kelantan, Terengganu dan Kedah terus kekal di bawah pemerintah Pas.
“Ketiga-tiga negeri ini boleh dikatakan 70 peratus adalah pengundi Melayu. Mereka tidak mengharapkan pun undi undi bukan Islam kerana mereka yakin sentimen-sentimen agama dan perkauman ini akan dapat menyelamatkan mereka,” katanya.
Bagaimanapun katanya, dengan kematangan rakyat Islam dan bukan Islam di negara ini dapat menilai erti sebenar politik perkauman dan politik keluhuran masyarakat majmuk.
“Pas bersama UMNO dan Bersatu mentadbir negara dengan slogan Keluarga Malaysia, tapi hakikatnya suara mereka tenggelam dalam jawatan, yang menjerit-jerit hanya senator dan yang duduk di luar Kabinet,” katanya.
Katanya lagi, isu politik agama dan kaum yang dimainkan Pas juga dapat dilihat apabila hilangnya suara pemimpin Islam itu yang sebelum ini terkenal lantang melawan konsert artis barat
“Dalam isu konsert Billie Eilish, apabila jadi sebahagian dari kerajaan, satu suara dari Menteri Agama pun tidak kedengaran. Mungkin mulut penuh sagon agaknya.
“Untuk membuktikan mereka bukan menteri cap ayam, maka terjerit jeritlah menteri-menteri yang tak berportfolio ke atas orang-orang bukan Islam.
“Mereka sebenarnya perosak negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette