KUALA LUMPUR – Seperti tidak suka soalan yang diajukan kepadanya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa tidak senang ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayub berhubung dana Yayasan Akalbudi.
Abdul Malik bertanya siapa meluluskan pelantikan Profound Radiance yang menguruskan sistem pemprosesan permit kerja Pusat Sehentian (OSC) untuk pekerja dari Pakistan dan Nepal.
Kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu, keputusan tersebut dibuat bersama pegawai-pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada masa itu.
Ahmad Zahid mendakwa terdapat arahan daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Zahid: Saya harap timbalan pendakwa raya ini tidak akan menjadi menteri pada satu hari. Saya doakan dia tahu peraturan di mana-mana kementerian mesti ikut prosedur sama.
Abdul Malik: Saya tidak teringin menjadi ahli politik.
Ahmad Zahid: Bagus, memang tidak layak.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian masuk mencelah dan memberitahu Ahmad Zahid supaya menjawab soalan yang dikemukakan pihak pendakwaan.
Ahmad Zahid berkata, keputusan itu dibuat olehnya melalui syor dalam mesyuarat sebelum ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid memberitahu beliau bukan perasuah seperti yang telah didakwa.
“Jika saya perasuah, mestilah sumbangan politik itu juga atas nama peribadi saya,” ujarnya.
Ahmad Zahid sebelum ini diarah membela diri terhadap kes pecah amanah dan rasuah pengubahan wang haram dana milik Yayasan Akalbudi.
Prosiding bersambung. – MalaysiaGazette