Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya, A'zlan Abu Bakar

PETALING JAYA – UMNO Bahagian Petaling Jaya mendesak Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mengetuai lima panel hakim bagi penangguhan pendengaran rayuan kes SRC International Sdn Bhd (SRC) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Pergerakan Pemudanya, A’zlan Abu Bakar berkata, tidak wajar bagi Tengku Maimun untuk meneruskan prosiding SRC apabila suaminya, Zamani Ibrahim didakwa mengeluarkan kenyataan seolah-olah memusuhi Najib.

“Kita mahu Ketua Hakim Negara mengambil tindakan sama seperti Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Sofian Abd Razak yang menarik diri daripada mendengar kes Najib sebelum ini.

“Apatah lagi apabila suami beliau sendiri tidak pernah sukakan Datuk Seri Najib dan beliau juga merupakan ahli Bersatu.

“Tindakan Yang Arif Sofian ini perlu diteladani atau diambil oleh mereka yang rasakan ada pengaruh dengan kes Datuk Seri Najib. Tengku Maimun wajar tarik diri daripada kes Datuk Seri Najib,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Dalam pada itu, A’zlan juga menasihatkan Tengku Maimun agar melaksanakan tugasnya secara profesional dan tidak membuat penghakiman yang berat sebelah hanya kerana mahu membalas jasa Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita tidak mahu Ketua Hakim Negara memperlihatkan dia sebagai membalas budi, kita tidak menafikan bahawa Yang Amat Arif Tengku Maimun ini merupakan lantikan daripada Tun Dr Mahathir.

“Jadi atas sebab itu, jangan ada istilah membalas budi atau terhutang budi.

“Umum mengetahui Tun Dr Mahathir sangat bermusuh dengan Datuk Seri Najib dan tidak mustahil mampu mempengaruhi tindakan ataupun keputusan-keputusan yang dibuat oleh Ketua Hakim Negara itu,” katanya.

A’zlan turut melahirkan rasa kesal dengan Tengku Maimun dan lima panel hakim yang menolak permohonan pasukan peguam Najib mengemukakan bukti baharu dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC.

“Ia memperlihatkan kemungkinan tindakan itu menunjukkan tiada kebebasan, seolah-olah institusi kehakiman kita ini sudah diikat oleh individu-individu tertentu

“Kita tidak mahu institusi kehakiman kita dicalarkan integritinya ataupun diikat oleh pihak-pihak tertentu,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sebagai orang awam, inilah kali pertama mendengar hakim mahkamah menolak bahan bukti baharu yang ingin dikemukakan/dihujahkan oleh peguambela?

    Harap YDPA dapat tubuhkan sebuah RCI untuk menyiasat perkara ini yakni kalau2 wujudnya unsur conflict of interest?

Comments are closed.