Ahmad Fadhli Shaari (kiri) dan Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak lebih bermaruah daripada ‘pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH)’ yang digugurkan kes ketika PH mentadbir kerajaan.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, walaupun jawatan Perdana Menteri dipegang oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob namun kes Najib tetap berjalan.

Ahmad Fadhli menjawab Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang menunggu reaksi Pas berhubung pendedahan terbaharu beliau mengenai kapal tempur pesisir (LCS).

Dalam pendedahannya hari ini, Rafizi mengaitkan pembelian LCS  dengan seorang wanita yang didakwa isteri kepada seorang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Di manakah saudara ketika pemimpin kanan PH ditarik kes rasuahnya oleh Peguam Negara ketika pentadbiran PH sedangkan kes sudah berjalan di mahkamah?

“Kedudukan pemimpin itu lebih kanan berbanding kedudukan individu yang saudara sebutkan hari ini. Jika boleh saya tolong jawab persoalan, saudara berada di dalam gua ketika itu.

“Dalam hal ini, Datuk Seri Najib lebih bermaruah daripada pemimpin kanan Pakatan Harapan tersebut. Sekalipun yang menjadi Perdana Menteri hari ini ialah Naib Presiden UMNO, kes DS Najib tidak ditarik balik sewenang-wenangnya oleh kerajaan.

“Bahkan langsung tiada tanda campur tangan politik dalam kes pendakwaan DS Najib,” kata Ahmad Fadhli.

Beliau tidak menyebut nama pemimpin kanan PH berkenaan tetapi dipercayai merujuk kepada pengguguran kes rasuah melibatkan Lim Guan Eng pada 3 September 2018 berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo.

Menurut Ahmad Fadhli, dia sejak dahulu telah membangkitkan isu LCS selepas isu itu mula diperkatakan di dalam Dewan Rakyat dan Pas konsisten bahawa isu LCS perlu disiasat dan perlu diadili.

Beliau menegaskan, Pas tidak melakukan kerja menyebarkan persepsi dan tidak akan mempertahankan kesalahan.

“Saudara (Rafizi) juga pernah mengancam untuk mendedahkan pemimpin kanan Pas yang kononnya menerima duit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Akhirnya yang didedahkan ialah individu yang sudah lama tiada kaitan dengan Pas kecuali sebagai ahli biasa.

“Saya simpati dengan saudara. Saudara timbul apabila hampirnya PRU dan akan kembali ke gua sekali lagi selepas pilihan raya,” kata Ahmad Fadhli. – MalaysiaGazette