PUTRAJAYA – Bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin yang sering kali mengadakan program di Putrajaya menafikan khabar angin beliau mahu menjadi calon Parlimen di pusat pentadbiran negara itu.
Beliau yang juga Menteri Kanan Pendidikan itu menolak dakwaan akan bertanding di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) kelak.
Mengulas lanjut, Radzi berkata, Putrajaya kebetulan menjadi lokasi yang bersesuaian dengan program-program di bawah kementeriannya.
“Ia (program KPM) diadakan sebab banyak sangat program dan kita perlu cari lokasi dekat sebab nak bagi mudahkan pergerakan, itu penting.
“Di sepanjang bulan Ogos sampai September, hampir hari-hari kita akan laksanakan penjelasan atau pelancaran perkara-perkara baru dibawah semangat apa yang dipanggil bersama semarakkan transformasi pendidikan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan pelantar pembelajaran digital (DELIMa) KPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) hari ini.
Difahamkan lebih daripada lima program dihadiri Radzi minggu lepas dan minggu ini termasuk pada hujung minggu.
Antaranya Kejohanan Bola Tampar Amatur di SMK Presint 16 (1) pada 7 Ogos, Showcase Transformasi Pendidikan di Pusat Beli Belah Alamanda pada 13 Ogos, program Sekolahku Sejahtera: Sepakat dan Selamat di SMK Putrajaya 14 (1) pada 18 Ogos, Majlis Transformasi Pendidikan Pemerkasaan ICT di SMK Presint 18 (1) pada 20 Ogos dan pelantar pembelajaran digital (DELIMa) KPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1), hari ini.
Sebelum ini, timbul desas desus mengatakan Senator Dewan Negara itu akan dicalonkan di Parlimen Putrajaya bagi merampas ia daripada Barisan Nasional (BN).
Untuk rekod, penyandang Parlimen Putrajaya adalah Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mengekalkan kerusi itu selama empat penggal.
Pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu, Radzi kalah di tangan penyandang Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dengan hanya mendapat 6,799 undi.
Annuar ketika itu memperoleh majoriti 4,626 undi. – MalaysiaGazette