Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir ke mahkamah bagi pembicaraan kes rasuah Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafi menggunakan sumbangan politik bernilai RM6 juta yang diterimanya melalui Yayasan Akalbudi untuk kegunaan peribadi.

Dana itu diterima daripada Timbalan Pengarah Urusan Datasonic Group Berhad (DGB), Chew Ben Ben.

Ketika prosiding bela diri perbicaraan rasuah membabitkan Yayasan Akalbudi yang telah diasaskannya, Ahmad Zahid mendakwa walaupun wang itu dimasukkan ke dalam akaun peribadinya dan menggunakannya untuk aktiviti politik, beliau memilih memasukkan wang diterima melalui dua keping cek itu ke dalam akaun pelanggan di firma guaman Tetuan Lewis & Co iaitu pemegang amanah Yayasan Akalbudi.

Beliau menegaskan, sumbangan politik tidak semestinya perlu diberikan kepada parti politik.

“Mana-mana ahli politik yang mendapat sumbangan tidak selalunya memasukan dana itu dalam parti politik kerana mereka ada kawasan yang diwakili atau jawatan di peringkat nasional.

“Saya sendiri walaupun memegang jawatan parti, saya tidak gunakan wang itu untuk politik mahu pun peribadi sebaliknya lebih kepada amal jariah.

“Dalam isu ini, saya tidak pernah memasukkan sumbangan politik ini ke dalam akaun peribadi dan menggunakannya untuk kepentingan peribadi saya, Yang Arif,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Ahmad Zahid juga menegaskan, dana itu bukan rasuah sebaliknya sumbangan politik.

Ketika ini prosiding bersambung, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk sedang berdepan dengan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi. – MalaysiaGazette