Pihak forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi lelaki Bangladesh mati dibunuh di Bukit Gedung, Pulau Pinang lewat malam tadi.

BAYAN BARU – Seorang lelaki warga Bangladesh maut dibunuh rakan senegaranya dalam satu kejadian di Bukit Gedung di sini, lewat malam tadi.

Mangsa dikenali sebagai Alam Safiq, 32, ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan beberapa kesan tikaman di kotak parkir berhampiran medan selera yang terletak kira-kira lima meter dari sebuah pangsapuri yang juga lokasi mereka dilaporkan bergaduh.

Sumber MalaysiaGazette berkata, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan ada pergaduhan di kawasan tersebut pada jam 11 malam.

Jelasnya, bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihak polis menemui mangsa yang juga seorang tukang cuci terbaring dengan kesan kecederaan di bahagian muka, tangan serta perut sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan di lokasi tersebut.

Mangsa dilaporkan rebah di kotak parkir berhampiran astaka makanan dalam keadaan berlumuran darah.

“Hasil pemeriksaan dan siasatan polis membawa kepada tangkapan empat lelaki warga Bangladesh termasuk suspek utama yang berusia 31 hingga 48 tahun.

Difahamkan punca kejadian disebabkan suspek yang juga seorang tukang cuci itu tidak puas hati berhubung kejadian ejek-mengejek di tempat kerja hingga membawa kepada pergaduhan di rumah.

“Turut dirampas sebilah pisau yang digunakan suspek untuk menikam mangsa,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, keempat-empat suspek yang ditahan itu direman selama tujuh hari sehingga 28 Ogos ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.

Dalam pada itu, peniaga medan selera berkenaan yang dikenali sebagai Abdul Rahim berkata, dia didatangi seorang lelaki warga Bangladesh pada jam 10.45 malam meminta bantuan menelefon ambulans untuk menyelamatkan rakannya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.

“Saya sedang punggah barang niaga ke dalam kereta terus menelefon pihak ambulans memandangkan mangsa masih bergerak ketika itu.

“Bagaimanapun, 10 minit kemudian banyak darah keluar sebelum mangsa tidak lagi bergerak dan disahkan mati oleh pihak ambulans yang datang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. – MalaysiaGazette