KUALA LUMPUR – Dua lelaki termasuk seorang warga asing yang meragut seorang wanita ketika berjalan di Lorong Kuda, Persiaran KLCC di Jalan Ampang malam Ahad lalu telah direman mulai semalam hingga 26 Ogos ini bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, siasatan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan iaitu mencuba melakukan rompakan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.
Kejadian yang tular di media sosial menyaksikan seorang wanita melalui detik cemas selepas menjadi mangsa ragut dua penjenayah kira-kira jam 9.38 malam pada waktu malam ketika berjalan seorang diri.
Dalam rakaman itu menunjukkan, salah seorang daripada dua suspek yang menaiki motosikal mendekati mangsa lalu menarik beg tangannya tetapi mangsa melawan enggan melepaskan beg tangannya.
Ketika bergelut dengan suspek, tiba-tiba datang seorang penunggang motosikal e-hailing lalu merempuh belakang motosikal yang dinaiki kedua-dua suspek, sebelum membantu wanita tersebut.
Pada masa yang sama datang seorang lagi lelaki dengan memegang topi keledar di tangannya untuk menyelamatkan wanita itu yang sedang bergelut dengan kedua-dua penjenayah itu yang kelihatan panik melihat kehadiran orang awam.- MalaysiaGazette