Najib Razak

PUTRAJAYA – Seandainya hari ini pasukan bela Datuk Seri Najib Razak enggan berhujah lisan seperti yang diminta oleh panel hakim Mahkamah Persekutuan, ada banyak kemungkinan akan berlaku pada prosiding akhir rayuan bekas Perdana Menteri itu.

Antara yang pasti dan sedang diperkatakan oleh umum termasuklah pengamal undang-undang dan media tentang apakah bakal berlaku pada Najib dalam beberapa jam lagi.

Ada kemungkinan Mahkamah Persekutuan boleh terus memutuskan untuk mengekalkan sabi­tan bersalah atau me­­nge­kal­kan hukuman penjara 12 tahun ser­ta denda RM210 juta.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Ghazali mensabitkan Najib bersalah atas semua pertuduhan dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Salah seorang peguam yang enggan dinamakan berkata, terdapat bahan bukti mencukupi walaupun tanpa adanya hujahan lisan dengan kemungkinan tidak ada lagi penangguhan.

Malah Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun juga enggan berkompromi walaupun beberapa kali permohonan penangguhan dibuat oleh peguam utama pembelaan Najib, Hisyam Teh Poh Teik.

Mahkamah berkemungkinan akan membuat keputusan berdasarkan alasan rayuan dalam memorandum rayuan, rekod rayuan serta hujahan oleh pasukan pembelaan Najib dalam Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Selain itu, ada juga kemungkinan mahkamah memutuskan un­tuk mengekalkan sabitan sa­lah Najib namun akan bertindak  meminda hukuman penjara dan denda dengan mengurangkan atau menambah.

Ada juga kemungkinan mahkamah akan melepaskan dan membebaskan Najib atau menangguhkan prosiding akhir hari ini dan keputusan akan diumum pada tarikh lain.

Bagaimanapun, hari ini, sejak jam 6 pagi lagi, pengamal media tempatan dan antarabangsa sudah mula berkumpul di luar perkarangan mahkamah, walaupun hanya yang berdaftar sahaja dibenarkan masuk sekitar 8 pagi ini.

Ada juga media sudah berkumpul di kediaman rasmi Najib seawal jam 5.30 pagi bagi melaporkan pergerakan beliau pagi ini.

Kelmarin, Najib melafazkan sumpah laknat bagi menafikan pembabitannya berhubung kes penyelewe­ngan dana SRC.

Jumaat lepas, Hisyam bertegas untuk tidak berhujah lisan walaupun Tun Maimun memberitahunya masih ada ruang dan masa untuk pembelaan tampil memberikan hujah bersandarkan 94 alasan mengapa Najib tidak bersalah dalam penyewelengan dana RM42 juta milik SRC International.

Hisyam sudah menegaskan beliau tidak bersedia dan memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan bagi menyediakan hujah terbaik untuk membantu anak guamnya dalam rayuan berprofil tinggi itu.

Bagaimanapun mahkamah tetap bertegas untuk tidak berkompromi walau apapun alasan telah dikemukakan oleh pihak pembelaan, sebaliknya akan meneruskan prosiding rayuan akhir Najib seperti yang telah ditetapkan.

Keputusan itu menyebabkan Hisyam memohon untuk menarik diri tetapi tidak dibenarkan mahkamah.

Serentak itu, Hisyam bertegas untuk tidak melakukan apa-apa hujahan dalam kes tersebut.

Najib juga merayu dan berdoa supaya mahkamah dapat mempertimbangkan setiap permohonan yang dikemukakan pihaknya memandangkan ini adalah usaha terdesaknya bagi memastikan beliau mendapat perbicaraan yang adil dan saksama.

Setakat artikel ini di tulis, Tun Maimun masih berpendirian tidak ada sebarang penangguhan dalam kes rayuan akhir Najib.

Prosiding akan bersambung sekitar 9.45 pagi ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast