Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Algeria telah dicekup polis selepas menyerang dua anggota polis di pondok pengawal dan menceroboh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, semasa kejadian lebih kurang pukul 1.40 pagi itu, suspek datang ke pondok pengawal dan cuba bertanyakan sesuatu kepada salah seorang anggota bertugas.

“Secara tiba-tiba suspek telah mengeluarkan senjata tukul besi dan mengetuk kepala anggota terbabit sebelum mengejar anggota lain yang membawa senjata api jenis HK MP5.

“Selepas mencederakan salah seorang anggota polis, suspek berlari masuk ke dalam kawasan IPK sebelum mengejar seorang lagi anggota bersenjata disyaki untuk merampas senjata api yang dibawa oleh anggota itu.

“Pada masa sama suspek juga sempat mengetuk belakang badan anggota polis beruniform terbabit dengan tukul besi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Azmi, menyedari insiden itu, beberapa anggota polis lain yang berada di lokasi bertindak pantas membantu dan menghalang tindakan suspek sebelum berlaku pergelutan.

Kata beliau, pihak pondok pengawal juga sempat menghubungi Pusat Kawalan Polis KL sebelum bantuan dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Dang Wangi bergegas ke pos pengawal IPK Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati suspek yang berkemungkinan berada dalam keadaan mabuk atau kurang siuman yang mana berjaya diberkas sebelum polis berjaya merampas senjata tukul besi yang digunakan menyerang serta mencederakan anggota.

“Suspek kemudian telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur  untuk rawatan akibat kecederaan semasa pergelutan manakala dua lagi anggota tercedera diserang dengan tukul besi oleh suspek turut dihantar ke hospital sama juga untuk rawatan lanjut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, ketika dihubungi  mengesahkan suspek sudah ditahan untuk siasatan bagi mendapatkan maklumat mengenai motif sebenar tindakannya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast