Datuk Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) diminta memberi cadangan bernas selain hanya menyatakan tidak bersetuju dengan penganjuran konsert di negara ini.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, perkara itu tidak selari dengan langkah bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat yang pernah membenarkan penyanyi popular, Datuk Jamal Abdillah menyanyi di Kelantan suatu ketika dahulu.

“Bagilah cadangan pilihan selain dari konsert. Almarhum Tok Guru (Datuk Seri) Nik Aziz pun benar bagi (Datuk) Jamal Abdillah buat persembahan ala-ala konsert di Kelantan.

“Jangan kata tak perlu dan tak boleh sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu merujuk kenyataan Idris yang berkata, hiburan seperti konsert sepatutnya tidak perlu dianjurkan di negara ini.

Pada Sabtu lalu, Idris dalam status Facebooknya berkata, beliau bukan anti hiburan namun tidak bersetuju dengan penganjuran konsert yang boleh mengundang pelbagai masalah sosial.

“Kita baru saja mengalami pandemik dan alhamdulilah, Allah tarik semula penyakit itu tetapi tiba-tiba kita buat macam ini, jadi amat malanglah.

“Dalam keadaan ekonomi yang teruk ini pun rasanya tidak sesuai sebab (penganjuran dan tiket) konsert itu kena bayar banyak,” katanya.

Malah Idris turut berkata, sekiranya hiburan tanpa batasan  menjadi budaya, ia akan membawa kepada pembinaan generasi yang pincang.

Terdahulu, media melaporkan Dewan Pemuda Pas mengecam penganjuran konsert ‘bertalu-talu’ di negara ini sambil menyifatkan ia ‘kerja gila’.

Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, penganjurannya akan menjemput ‘kemurkaaan’ Allah.

Ahmad Fadhli bagaimanapun tidak merujuk pada mana-mana konsert secara khusus.

Kenyataan dibuat itu tidak sampai 24 jam selepas konsert penyanyi Amerika Syarikat, Billie Eilish: Happier Than Ever, The World Tour di Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette