Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri bersama Menteri Kewangan, Tenku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz beramah mesra dengan peserta-peserta selepas Majlis Penutupan Konsultasi Bajet 2023 di Kementerian Kewangan Malaysia Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 23 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri yakin momentum pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19 akan berterusan sehingga penghujung tahun ini dan unjuran pertumbuhan antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus dapat dicapai.

Berdasarkan indikator ekonomi terkini, Malaysia dijangka mencapai pertumbuhan tahun 2022 dapat mencecah ke tahap tertinggi dalam julat unjuran tersebut.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, momentum pemulihan ekonomi bukan sekadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi pemulihan pasaran tenaga kerja juga jelas dicapai berdasarkan kepada penurunan kadar pengangguran daripada 5.3 peratus yang tertinggi pada Mei 2020 kepada 3.8 peratus pada bulan Jun 2022, hasil inisiatif JaminKerja dengan peruntukan melebihi RM4 bilion dalam Bajet 2022.

Menurutnya, keyakinan kepada ekonomi negara juga jelas dalam kalangan pelabur antarabangsa. Untuk separuh pertama 2022, pelaburan langsung asing (FDI) mencatat aliran masuk bersih lebih tinggi bernilai RM41.7 bilion berbanding
sebelum pandemik iaitu RM23.3 bilion pada tempoh yang sama tahun 2019.

”Meskipun pertumbuhan ekonomi negara untuk tahun 2022 berada pada trajektori pemulihan yang memberangsangkan, namun harus diingat, kita masih lagi berdepan dengan prospek ekonomi global yang semakin mencabar untuk tahun 2023 berikutan konflik RusiaUkraine yang berterusan, gangguan rantaian bekalan makanan global serta tindakan bank-bank pusat dunia yang memperketatkan dasar monetari.

”Senario ekonomi global semakin mencabar dan tinjauan ekonomi bagi tahun 2023 kurang memberangsangkan.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi global untuk tahun 2023 dari 3.8 peratus semasa tinjauannya pada Januari 2022 kepada 2.9 peratus pada Julai 2022

”Sebagai sebuah ekonomi yang terbuka, kita tidak terkecuali daripada perkembangan global. Gangguan rantaian bekalan dunia telah meningkatkan harga komoditi dan makanan dengan mendadak,” katanya ketika berucap menyempurnakan majlis penutupan Konsultasi Bajet 2023 di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, demi kesejahteraan rakyat kerajaan telah melaksanakan langkah mengawal harga barangan serta menambah baik bantuan dan subsidi barangan asas.

Hasil daripada tindakan Kerajaan, kadar inflasi untuk separuh tahun pertama 2022 kekal pada tahap terkawal 2.5 peratus berbanding kadar lebih tinggi dalam kalangan negara-negara maju.

Perdana Menteri berkata, Amerika Syarikat dan United Kingdom, contohnya merekodkan kadar inflasi melebihi 9.0 peratus sementara negara serantau seperti Thailand, Singapura dan Filipina melebihi 6.0 peratus.

Tindakan kerajaan itu, katanya, telah meningkatkan perbelanjaan bantuan dan subsidi kepada RM77.7 bilion berbanding peruntukan Bajet 2022 sebanyak RM31 bilion.

”Tanpa bantuan dan subsidi kerajaan, dianggarkan kadar inflasi negara akan mencecah sebanyak 11.4 peratus,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast