Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir ke Mahkamah Persekutuan bagi memberi sokongan terhadap suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam prosiding kes rayuan akhir berkaitan sabitan dan hukuman penjara penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 23 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Kehadiran Datin Seri Rosmah Mansor ke mahkamah untuk prosiding akhir rayuan suaminya, Datuk Seri Najib Razak hari ini menarik perhatian pengamal media.

Dengan wajah tenang, Rosmah berbaju merah jambu hadir  sekitar pukul 1.20 tengah hari tadi mengejutkan ramai pihak.

Beliau sempat senyum kepada  wakil media serta pegawai mahkamah dan melambai sebelum naik ke tingkat atas lokasi prosiding akhir sedang berlangsung.

Kehadiran beliau juga mencetuskan persoalan apakah sebenarnya yang sedang berlaku kepada Najib hari ini.

Walaupun ketika ini mahkamah berehat sebentar sebelum lima panel hakim mengeluarkan keputusan berkaitan permohonan Najib menggugurkan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dari mempengerusikan pendengaran rayuan akhir itu namun pasukan Najib kelihatan tidak turun ke kafe sebaliknya mengadakan perbincangan.

Pelbagai spekulasi tentang kemungkinan akan berlaku kepada rayuan akhir bekas perdana menteri itu termasuklah kemungkinan akan ada keputusan mengenai kes hari ini.

Ketika prosiding, walaupun Hisyam sekali lagi cuba memohon masa untuk memohon penangguhan, Tun Maimun seperti tidak melayannya.

Seorang sumber juga pemimpin politik dan kenalan rapat Najib sempat melahirkan rasa kecewa dengan keadaan yang menimpa Najib.

“Apa ini, hakim langsung enggan beri muka, beri peluang dan masa kepada Datuk Seri (Najib). Saya sudah tidak sanggup lagi duduk di dalam dengar apa-apa. Saya hanya risau dengan pelbagai kemungkinan.

“Datuk Seri kuat dan tenang, mungkin bukan saya. Saya kecewa, marah, sedih. Semuanya,” ujarnya.

Najib ketika ini sedang  merayu bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapinya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC.

Sebelum ini, Najib melafazkan sumpah laknat bagi menafikan pembabitannya berhubung kes penyelewengan dana SRC dan tidak pernah mengetahui secara khusus atau sebaliknya bahawa dana sebanyak RM42 juta itu datangnya daripada syarikat itu secara langsung atau tidak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast