Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil sedikit masa untuk berjumpa dengan penyokongnya ketika hadir ke mahkamah pada prosiding kes rayuan akhir berkaitan sabitan dan hukuman penjara penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 23 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah berusaha sedaya upaya dalam rayuan terakhir kes berkaitan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC), namun kesemuanya ditolak Mahkamah Persekutuan, hari ini.

Bagaimanapun Najib tidak mudah mengalah dan belum tewas kepada pertuduhan yang dihadapinya bagi mengetepikan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

“Saya telah berusaha sedaya-upaya tapi nampaknya setiap apa yang saya pohon kepada mahkamah telah ditolak.

“Saya tidak tewas dalam kes ini. Saya tak dapat keadilan dan saya tak dapat seorang peguam mewakili saya dengan tempoh masa secukupnya untuk buat persediaan.

“Kali pertama masa saya didakwa, saya minta penangguhan selama tiga bulan tapi itu pun ditolak,” katanya kepada pemberita dan penyokongnya di luar pekarangan Istana Kehakiman, di sini petang tadi.

Najib juga melahirkan rasa kesal apabila semua permohonannya ditolak sedangkan pihak lain yang mengemukakan permohonan sama boleh diterima mahkamah.

“Dalam kes yang lain, mereka dapat penangguhan lebih dari 70 kali.

“Tapi dalam kes saya, sekali saya minta pun tidak diizinkan,” ujarnya.

Bagaimanapun ahli Parlimen Pekan itu seolah-olah pasrah dengan perkembangan itu dan sedia mereka sebarang kemungkinan dalam prosiding pada petang ini.

“Sekarang ini kita tunggu lah apa-apa keputusan. Kalau keputusannya buruk, saya minta maaflah.

“Saya telah berusaha sedaya upaya, doalah yang terbaik untuk saya, yang penting sekali perjuangan kita.

“Teruskan, jangan berganjak, doa dan berusaha, Insya-Allah doa akan memberi kemenangan kesudahan kepada kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast