Pengerusi Perhubungan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM), Syed Muhammad Syed Abdul Aziz menunjukkan memorandum yang diserahkan kepada Agong mengenai tanda tidak berpuas hati terhadap peguam negara dan ketua Pesuruhjaya SPRM mengenai kes 'Conflict of Interest' berkenaan Hakim Datuk Nazlan Ghazali terhadap penganiayaan kepada Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Pintu 3, Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 24 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Hampir 300 penyokong tegar Datuk Seri Najib Tun Razak yang dikenali Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memohon agar bekas Perdana Menteri itu diberikan pengampunan diraja.

Presidennya, Syed Mohammad Imran S.N Syed Abdul Aziz berkata, selain itu mereka memohon Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki untuk menghadap baginda mengenai bukti kes membabitkan Hakim Nazlan Ghazali.

“Saya sebenarnya ingin mengetahui apa hasil siasatan SPRM berhubung konflik berkepentingan membabitkan hakim Nazlan, yang mana pada 21 Mei lalu SPRM mendakwa hasil kertas siasatan sudah diserahkan kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun tetapi dia menafikan menerima laporan itu daripada SPRM.

“Adakah konflik berkepentingan itu wujud atau tidak itulah perkara yang saya dan rakyat ingin tahu. Lagipun saya rasa ia tidak memerlukan campur tangan politik, sebaliknya Azam Baki dan Peguam Negara harus menghadap baginda jika tidak rakyat akan keliru.

“Apakah SPRM ini satu agensi suruhanjaya yang bagus atau sebaliknya? dan itulah kini berlegar dalam fikiran rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Istana Negara, hari ini.

Syed Mohammad Imran mendakwa, satu penganiayaan telah dilakukan terhadap Najib dalam mendapatkan keadilan di Mahkamah Persekutuan.

Tambah beliau, pihaknya tidak mempersoalkan bidang kehakiman tetapi jika terbukti wujud konflik mengapa tidak mengemukakan bukti itu di mahkamah.

“Perdana Menteri ada kuasa terhadap Peguam Negara dan kenapa semalam Peguam Negara tidak menghadiri perbicaraan akhir Najib dan kami perlukan penjelasan daripada Idrus Harun.

“Hari ini saya dapat tahu semua Pengarah SPRM berangkat ke luar negara semalam, untuk apa dan kenapa kamu ke luar negara semasa seseorang yang inginkan keadilan berjuang di mahkamah. Inilah membuatkan rakyat marah.

“Kita cuma memohon pengampunan diraja terhadap Najib dan ia perlu dilakukan oleh kerajaan menerusi PM yang harus memberi satu surat kepada baginda untuk pengampunan kepada Najib,” ujarnya.

Sementara itu, Syed Mohammad Imran terkilan terhadap kebocoran draf keputusan kehakiman dalam media sosial yang disifatkan sebagai satu penghinaan kepada mahkamah.

Katanya, pihak berkuasa perlu siasat segera berdasarkan laporan polis yang dilakukan pendaftar mahkamah semalam kerana ia merupakan perkara serius dan sensitif,” ujarnya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast