Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke Mahkamah Persekutuan pada prosiding kes rayuan akhirnya berkaitan sabitan dan hukuman penjara penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 23 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR –  Hukuman penjara kepada Datuk Seri Najib Razak tidak akan sesekali  memudarkan segala jasa bekas perdana menteri yang telah ditaburkan khasnya kepada masyarakat India di negara ini.

ketika Najib menjadi Perdana Menteri, beliau telah memberi fokus dan perhatian sepenuhnya kepada masyarakat India di negara ini untuk kesejahteraan serta meningkatkan sosio ekonomi mereka.

Tidak juga dilupakan pemberian dana terbesar hampir RM1 bilion untuk pembangunan sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil.

Menurut Presiden Makkal Sakthi, Datuk Seri RS Thanenthiran, apa yang diungkapkan itu cukup sedikit memandangkan apa yang telah dilaksanakan olehnya melalui pelbagai inisiatif sebenarnya jauh lebih besar.

Jelasnya, tidak mungkin jasa-jasa itu akan dilupakan oleh masyarakat India di negara ini malah beliau sendiri cukup terkesan dengan jasa Najib.

“Mungkin pada PRU-14, tidak semua masyarakat India menyokong beliau atas pelbagai sebab namun selepas kekalahan itulah, ramai yang mula merindui beliau. Tidak ada perdana menteri yang begitu prihatin dengan kehendak dan nadi masyarakat India di negara ini seperti beliau.

“Saya tidak peduli jika ada golongan yang tidak bersetuju khasnya pembangkang, saya juga tidak ada kumpulan yang menentang beliau dan melabel beliau macam-macam kerana agenda peribadi tetapi jika anda turun ke bawah, anda akan lihat kehadiran beliau amat dirindui dan diperlukan.

“Apa yang berlaku semalam, kebenarannya Najib tidak mendapat keadilan, perbicaraan yang saksama walaupun segala macam usaha cuba dilakukan.

“Bagi kami yang sayangkan beliau, yang amat menghargai beliau, tuduhan dan hukuman ini langsung tidak menrencatkan kesetiaan kami,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak rayuan Najib dan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC.

Sebelum mengakhiri pro­siding, Tengku Maimun turut menolak permohonan peguam bela, Hisyam Teh Poh Teik agar hukuman penjara yang berkuat kuasa semalam ditangguhkan kerana pihak pembelaan akan memfailkan semakan terhadap keputusan mahkamah tersebut.

Najib ketika ini sedang menjalani hukuman penjaranya di Penjara Kajang untuk sementara waktu sebelum di pindahkan ke Penjara Sungai Buloh dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Thanenthiran turut menasihatkan umum supaya tidak ‘gembira’ dengan apa yang terjadi kepada Najib sehingga ke tahap menghina seseorang dan melupakan segala penghormatan dan jasa individu berkenaan.

“Tidak ada mana-mana agama yang mengajar kita melakukan sedemikian, sedarlah jasa beliau terlalu banyak bukan sahaja untuk komuniti India sebaliknya untuk semua secara keseluruhan. Lambat laun golongan ini juga akan sedar tidak ada pemimpin sehebat Najib,” tegasnya. – MalaysiaGazette