Cip milik sebuah kilang bernilai RM4.7 juta dilarikan di gudang simpanan yang terletak di Perusahaan Perai Bukit Tengah, Pulau Pinang.

SEBERANG PERAI – Polis Pulau Pinang kini memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes rompakan cip milik sebuah kilang bernilai RM4.7 juta yang dilarikan dari gudang simpanan barang kilang itu di kawasan Perusahaan Perai Bukit Tengah, di sini, 5 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, setakat ini, tujuh lelaki telah ditahan untuk membantu siasatan polis berhubung kes itu.

Seorang daripada mereka merupakan pekerja gudang simpanan tersebut.

Cheng San (kanan) ketika mengadakan sidang media di IPD Seberang Perai Tengah hari ini.

Jelas beliau, mereka yang ditahan berusia lingkungan 24 hingga 62 tahun dan tiga daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

“Bagaimanapun, semua cip bernilai RM4.7juta milik sebuah kilang itu tidak dapat ditemui semula dan dipercayai telah dibawa ke luar negara.

“Cip tersebut hanya boleh digunakan pada mesin tertentu sahaja kerana ia memang direka khas.

“Polis sudah mengenal pasti identiti dalang berusia 30-an itu dan usaha mengesannya giat dijalankan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, sekumpulan lelaki melarikan 16 kotak beroda yang mengandungi cip bernilai RM4.7 juta dengan menggunakan sebuah lori.

Difahamkan, lima lelaki tersebut bertindak mengikut dua pengawal keselamatan sebelum membawa lari barang dari gudang terbabit.

Turut ditahan seorang pekerja gudang tersebut.

Bagaimanapun, dua pengawal keselamatan tersebut turutdi tahan selepas memberi kenyataan bercanggah berhubung cara mereka diikat dalam kejadian tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette