Zamil Ibrahim
Zamil Ibrahim

KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun diminta tampil memberi penjelasan berhubung kenyataannya bahawa kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali tidak berada dengan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Timbalan Presiden Kelab Pendokong Penyatuan Ummah Malaysia (KPPUM), Zamil Ibrahim berkata, kenyataan Idrus pada 21 Ogos lalu itu mengejutkan kerana SPRM sendiri telah mengesahkan bahawa kertas siasatan tersebut telah dihantar kepada AGC.

Malah, menurut beliau, pada 23 Mei lalu, media melaporkan Idrus sebagai berkata, AGC sedang meneliti kertas siasatan terhadap Mohd. Nazlan yang dikemukakan SPRM.

”Sekiranya kenyataan itu tidak benar, saya cabar AGC saman mana-mana media yang menyiarkan laporan tersebut.

“Saya juga hairan mengapa AGC tidak menafikan kenyataan Idrus sebaik sahaja ia disiarkan oleh media,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Pada 21 Mei lalu, media melaporkan, siasatan SPRM terhadap Mohd. Nazlan berhubung dakwaan beliau mempunyai konflik kepentingan dalam kes SRC International Sdn. Bhd. telah selesai.

Mohd. Nazlan dikatakan pernah menjadi peguam di sebuah bank yang mencadangkan penubuhan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 2020, beliau menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan denda RM210 juta setelah didapati bersalah dalam kes SRC International dan kelmarin, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Najib serta mengekalkan sabitan serta hukuman tersebut.

Zamil merupakan individu yang membuat laporan berhubung dakwaan berkenaan kepada SPRM pada hujung April lalu.

Beliau turut meminta kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan AGC membuat pendakwaan terhadap Mohd. Nazlan sekiranya terdapat bukti kukuh seperti yang dilakukan terhadap kes projek kapal tempur pesisir (LCS) sebelum ini.

“Kalau kerajaan tidak mengambil tindakan, lebih baik Idrus letak jawatan,” tegasnya.

Pada masa yang sama, Zamil mempersoalkan mengapa pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berdiam diri terhadap kenyataan Idrus yang dikatakan tidak konsisten itu.

“Tidak kedengaran langsung suara mereka walaupun perkara ini melibatkan soal integriti,” katanya. – MalaysiaGazette