Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Nadzim Johan (tengah) dan Presiden (PEKEMAS), Faizan Mohd Nor (kanan) menunjukkan kertas bukti bekas pekerja Rumah Sembelih (TFI) Australia membuat pengakuan terbuka isu daging tidak halal di Villa Puteri Kondominium, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 25 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan memberikan penjelasan berhubung pendedahan isu daging yang diimport dari pusat penyembelihan di Australia yang diproses dengan cara tidak halal.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas tiada tindakan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Masalah ini sudah berulang-kali kita suarakan namun masih tiada lagi tindakan. Jadi, antara keputusan hari ini adalah untuk kita akan hantar memorandum kepada Perdana Menteri dalam masa segera untuk minta keprihatinannya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jelasnya, PPIM serta gabungan bukan kerajaan (NGO) yang lain sedia menghantar wakil untuk ke atase halal di Australia bagi bekerjasama dengan Jakim dalam menyiasat keraguan status berkenaan.

“Kita bersedia hantar wakil NGO ke Australia buat tugas pemantauan sebab banyak keraguan perlu dijelaskan termasuk Jakim dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang dikatakan masih tidak buat pemeriksaan di rumah sembelihan berkenaan,” ulasnya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Faizal Mohd Nor berkata, tindakan Jakim yang tidak mengendahkan isu ini adalah tidak bertanggungjawab.

“Apa cerita ini Jakim? Isu umat Islam yang kita suarakan ini melibatkan bab halal dan haram. Kita dah timbulkan isu ini sejak enam bulan lepas tapi tidak diendahkan Jakim. Menteri Agama pula berdolak-dalik tidak ambil tindakan,” jelasnya.

Tambahnya, beberapa gabungan NGO yang berkumpul hari ini mempunyai maklumat yang cukup untuk membuktikan dakwaan tersebut.

Faizan Mohd Nor

Ujar Faizal, ia selepas salah seorang bekas pekerja di loji sembelihan Thomas Foods International (TFI) di Lobethal, Australia itu menghubungi pihaknya.

Bekas pekerja itu melaporkan beberapa haiwan termasuk kambing biri-biri di pusat berkenaan melanggar protokol penyembelihan yang ditetapkan.

Malah, bekas pekerja tersebut turut membuat perakuan bersumpah terhadap kenyataannya itu selepas laporan yang dibuat terhadap jabatan agama di negara itu juga tidak diambil tindakan.

Sebagai rekod, pendedahan lelaki itu yang dibuat dalam satu panggilan video secara langsung hari ini merupakan siri pembongkaran kedua selepas seorang lagi lelaki dikenali sebagai The Hood Man menceritakan perkara sama beberapa bulan lalu.

Terdahulu, wakil NGO menggesa kerajaan menggantung serta-merta lesen badan pensijilan halal Majlis Tertinggi Islam Daging Halal di Australia Inc. (SICHMA) sehingga siasatan mengenai keraguan status halal tersebut selesai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast