Hashim Abu melihat rumah pusaka keluarganya yang didiami adiknya Abdul Latif musnah 100 peratus dalam kebakaran jam 7 pagi tadi di Kampung Mata Kucing, Melaka hari ini.

MELAKA – “Mujurlah ada orang awam ketuk pintu rumah beritahu nampak api, kalau tidak, tak tahulah apa nasib saya,” kata Hamiah Abdul Karim, 45.

Pembantu klinik swasta itu menceritakan kejadian kebakaran yang memusnahkan 100 peratus rumah sepupunya dan hampir menyebabkan rumahnya terbakar di Jalan Mata Kucing, Kampung Mata Kucing, Pengkalan Rama, di sini pagi tadi.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, dia sedang menyediakan sarapan sebelum ke tempat kerjanya di Klebang manakala suaminya sudah keluar menghantar dua anak mereka ke sekolah.

“Kira-kira jam 6.45 pagi, saya ada terhidu bau hangit seperti suis terbakar dan segera memeriksa bilik anak namun tiada apa-apa yang berlaku.

“Selepas 15 minit, tiba-tiba ada ada orang awam menjerit ketuk pintu rumah memaklumkan rumah sepupu saya yang terletak bersebelahan yang jaraknya kurang satu meter dengan rumah saya sedang terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi di sini hari ini.

Hamiah Abdul Karim

Tambahnya, dalam keadaan panik itu, dia hanya sempat meminta tolong daripada anak saudaranya untuk menghubungi bomba dan cuba memadam api namun gagal kerana ia sudah marak.

“Api marak begitu cepat dalam kira-kira tujuh minit sahaja, tetapi mujurlah sepupu saya, Abdul Latif Abu, 56, yang tinggal sendirian tiada di rumah ketika kejadian kerana keluar bekerja di Bukit Rambai.

“Kalau sepupu saya ada, tak tahulah apa nasibnya apabila melihat rumah pusaka keluarga yang didiaminya sejak 40 tahun lalu sudah menjadi abu,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana, Datuk Abidillah Salleh berkata, pihaknya dan beberapa agensi berkaitan termasuk Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menghulurkan bantuan one-off kepada mangsa.

“Selain itu, di bawah Pejabat Daerah Melaka Tengah, kita ada Tabung Bencana Alam yang mana mangsa layak mendapat bantuan RM3,000 kerana rumah musnah 100 peratus.

“Jika tiada isu pemilikan tanah, kita juga akan cuba membina rumah baharu di tapak itu di bawah Program Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB),” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast