KUALA LUMPUR – Pemerhati politik menyanggah kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengaitkan “keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang terabai” dalam kes membabitkan Datuk Seri Najib Razak.
Lim Sian See berkata, rayuan Mahkamah Persekutuan Liwat II Anwar telah diperdengarkan dari 28 Oktober 2014 hingga 8 November 2014.
Keputusan kes itu kemudian diputuskan pada 10 Februari 2015 (95 hari selepas tamat rayuan mahkamah Persekutuan).
Jumlah tempoh kes Anwar adalah 6 tahun, 6 bulan, 4 hari. (7 Ogos 2008 (tarikh pertuduhan) hingga 10 Feb 2015 (keputusan Mahkamah Persekutuan).
Manakala rayuan Mahkamah Persekutuan kes SRC Najib pula bermula dari 15 Ogos 2022 hingga 23 Ogos 2022 dan keputusannya dibuat pada 23 Ogos 2022 – sifar hari kerana keputusan dibuat sebaik sahaja tamat rayuan mahkamah Persekutuan).
Tempoh masa kes Najib ialah 4 tahun, 1 bulan, 20 hari. (4 Jul 2018 (tarikh pertuduhan) hingga 23 Ogos 2022 (keputusan Mahkamah Persekutuan).
Penjelasan tersebut dibuat oleh Sian See yang komen dalam hantaran bekas Perdana Menteri itu.
Mahathir dalam hantaran baharunya di Facebook berkata, kerana kes SRC Najib mengambil masa yang amat panjang (empat tahun) banyaklah kes-kes pencurian, salah guna kuasa, rasuah yang melibatkan ramai tokoh-tokoh politik tertangguh dan tidak dihadap ke mahkamah.
Ada penjenayah yang meninggal dunia pun.
Tambahnya, kelewatan perbicaraan akan menghasil keadilan terabai.
”Sekarang Najib dibicara berkenaan kes lain yang juga akan mengambil masa yang panjang. Saya percaya hakim-hakim juga kurang senang dengan begitu banyak kes tertangguh. Kelewatan ini menjadi lebih buruk kerana perlakuan Najib dengan peguamnya. Bermacam alasan diguna untuk menghalang perbicaraan,” kata beliau.
Sian See menegaskan tempoh perbicaraan yang dilalui oleh Najib itu membabitkan sembilan kes jenayah dan sivil yang difailkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional secara berturut-turut.
Bagaimanapun kes Najib alami kelewatan dua tahun akibat Covid-19, sesuatu yang tidak pernah dihadapi dalam kes Anwar.
”Dan kes Anwar pastinya tidak begitu rumit berbanding kes SRC Najib,” katanya. – MalaysiaGazette