Shahril Hamdan
Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR – ‘Berita palsu dan hanya cerita sensasi semata-mata’.

Itu jelas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan mengenai beberapa laporan berita yang mendakwa mesyuarat biro politik UMNO yang diadakan Rabu lalu membuat ketetapan untuk memberi kata dua kepada Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Laporan berasaskan ‘sumber’ semata-mata mensensasikan cerita tidak sepatutnya dijadikan asas untuk melapor berita.

“Butiran perbincangan dalam mesyuarat ialah rahsia. Sebagai pemegang jawatan, kami tidak boleh membocorkan butiran semata-mata mahu menjadi ‘reporter’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Media hari ini melaporkan ada pemimpin UMNO yang hadir pada malam itu meninggikan suara terhadap Ismail Sabri, khususnya berkaitan hukuman penjara terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah jelas Shahril, tidak ada sebarang kebenaran dalam dakwaan tersebut kerana apa yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan adalah rahsia dan tidak boleh dibocorkan kepada umum khususnya media.

“Untuk jelas, tidak ada sebarang kebenaran dalam dakwaan bahawa Biro Politik mendesak atau memberi amaran kepada Perdana Menteri apatah lagi pemecatan seorang PM dari UMNO.

“Melainkan sebarang kenyataan rasmi, sebarang kenyataan lain apatah lagi sebagai ‘sumber’, tidak boleh disifatkan sebagai benar. Agenda pihak-pihak tertentu untuk memecahbelahkan UMNO atau menggambarkan seolah-olah kepimpinan UMNO bergaduh tidak perlu dipercayai,” katanya lagi.

Beberapa jam lalu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya bakal mengambil tindakan untuk menyaman Malaysiakini dan Awani berhubung artikel yang disiarkan oleh kedua-dua agensi media terbabit.

Asyraf merasakan artikel yang ditulis oleh media tersebut bersifat fitnah, tidak bertanggungjawab dan tidak beretika. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast