Seorang penghantar barang yang menuntut hutang bayaran kerja yang tertangguh dari suspek dibalas dengan parang apabila cedera ditetak dalam kejadian di Ampang. Ihsan Foto: IPD Ampang Jaya

KUALA LUMPUR – Seorang penghantar barang yang meminta upah kerja yang tertunggak dibayar berakhir dengan dia ditetak dengan parang di Taman Mulia, Apang, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian jam 7.10 malam itu, mangsa yang sedang berbual dengan seorang rakan di hadapan sebuah kedai di taman perumahan itu dihampiri suspek.

“Mangsa tiba-tiba telah melihat suspek memegang parang panjang bertindak mengejarnya sebelum ditetak dengan menggunakan parang yang dimilikinya.

“Akibat tetakan itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian lengan kiri dan kaki kanan dan telah dikejarkan ke Hospital Ampang serta menerima rawatan segera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohamad Farouk, siasatan mendapati punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuasa hari dengan lelaki yang berusia 41 tahun itu menuntut agarnya tunggakan gajinya dibayar.

Tambah beliau, bertindak atas maklumat mangsa, kira-kira jam 11 malam, sepasukan anggota polis telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 37 tahun yang disyaki melakukan jenayah tersebut.

Katanya, siasatan mendapati suspek bekerja sebagai buruh di Taman Dagang, Ampang dan hasil semakan mendedahkan suspek memiliki dua rekod kesalahan jenayah lampau.

“Pemeriksaan lanjut terhadap suspek sejurus tangkapan berjaya merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan semasa kejadian itu,” ujarnya.

Mohamad Farouk berkata, suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang dan dibenarkan direman selama empat hari bermula hari ini hingga 29 Ogos ini bagi membantu siasatan lanjut kes ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya yang mana ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast