Home Nasional Polis buru penyokong bola buat kecoh luar stadium

Polis buru penyokong bola buat kecoh luar stadium

KUALA LUMPUR – Polis mengesan beberapa individu disyaki suspek mencetuskan kekecohan selepas tamat aksi antara Kuala Lumpur City FC dan PSM Makassar pada malam Khamis lalu di luar stadium KLFC Cheras.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, siasatan telah dimulakan selepas kertas siasatan dibuka sejurus terkesan satu rakam video Tik Tok berkaitan insiden kekecohan di luar stadium berkenaan tular di media sosial semalam.

“Sekitar jam 10.50 malam tadi pihak polis telah terkesan satu klip video di aplikasi TikTok dimuat naik oleh pemilik akaun ‘nursyuhadaofficial7_’ yang memaparkan satu insiden kekecohan yang berlaku berhampiran Stadium KLFA, Cheras, Kuala Lumpur selepas perlawanan bola sepak antara Kuala Lumpur City FC dan PSM Makassar.

“Pihak Polis Cheras telah menerima laporan polis berhubung kejadian ini dan sehingga kini beberapa orang saksi telahpun dipanggil dan dirakam percakapan oleh polis bagi membantu siasatan insiden tersebut,” katanya dalam kenyataa hari ini.

Tambah beliau, polis menjalankan siasatan mengenai insiden itu di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh sehingga menggugat ketenteraman awam yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahannya.

Polis sedang memburu beberapa suspek bertangungjawab mencetuskan kekecohan membabitkanPenyokong bola sepak yang terlibat dalam rusuhan di luar stadium KLFA Cheras selepas aksi KL City menentang Makassar semalam.Ihsan TikTok netizen

Ujarnya, polis juga telah mempergiatkan usaha menjejaki suspek-suspek yang terlibat dalam insiden kekecohan di luar stadium itu.

“Polis pada masa yang sama menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan ketenteraman awam membabitkan insiden kekecohan di luar stadium.

“Polis juga ingin menegaskan sebarang bentuk jenayah kekerasan dianggap kes serius dan disiasat dengan sebaik mungkin berlunaskan undang-undang yang telah diperuntukkan.- MalaysiaGazette