Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Zaid Ibrahim menceritakan pengalamannya sebagai peguam kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam rayuan akhir SRC International Sdn. Bhd. di Mahkamah Persekutuan minggu lalu.

Kata pemilik firma Guaman Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIFT) itu, banyak aspek kes berkenaan tidak sempat diteliti dan dikemukakan kerana sebab tertentu.

Bagaimanapun, katanya, dua perkara yang beliau terlibat sepanjang mewakili Najib ialah anak guamnya tidak pernah mengarahnya, peguamnya atau sesiapa pun untuk cuba mencari jalan mendapatkan campur tangan kerajaan dalam kesnya.

“Tidak pernah dia sebut kita perlu cari jalan mempengaruhi keputusan hakim. Tidak pernah dia meminta kita mencari jalan atau berusaha untuk menarik balik tuduhan terhadap beliau, tidak pernah.

“Jadi, tohmahan dan fitnah yang dilakukan kepada Najib oleh pihak tertentu, terutama musuhnya adalah tidak adil sekali,” katanya dalam kenyataannya.

Menurut Zaid, apa yang dilakukan dari pihaknya ialah pertama, untuk meyakinkan mahkamah supaya membenarkan bukti baharu yang Najib terima dalam satu sampul surat dua bulan lalu.

Bukti itu, katanya, menunjukkan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang membicarakan kes Najib ada kepentingan bercanggah dengan kemampuannya sebagai seorang hakim untuk mengendalikan kes itu.

Jelas beliau, hakim yang ada conflict of interest dan likelihood of bias tidak sepatutnya dipilih untuk menghakimi kes berkenaan.

“Kedua, kita minta masa kerana perubahan peguam ini dilakukan bukan niat hendak melambatkan kes itu. Najib sudah tewas di Mahkamah Tinggi dan tewas di Mahkamah Rayuan. Jadi, dia hanya ada satu peluang lagi (Mahkamah Persekutuan).

“Adalah munasabah untuk Najib memikirkan (memilih) peguam lain, cara lain dan pendekatan lain.

“Bukankah kita dalam hidup ini apabila telah mendapati segala perancangan kita telah hampir tamat, munasabah untuk kita fikirkan cara lain? Inilah yang berlaku,” katanya.

Justeru, kata Zaid, beliau membuat keputusan bahawa usaha perlu dilakukan terhadap itu dengan membawa bukti baharu untuk mahkamah mendengar dan memberi masa untuk rayuan.

Katanya, pembelaan Najib itu bukan kerana beliau menyokong rasuah atau salah guna kuasa sebaliknya membela proses perundangan yang ada.

“Kalau anak Allahyarham Tun Razak tidak mendapat proses perundangan yang adil, apakah kita marhaen ini dapat keadilan?

“Kita minta hakim beri masa dua bulan sahaja, bukan dua tahun pun. Hanya dua bulan untuk mendengar kes itu untuk kita mempelajari dan meneliti kembali rekod-rekod perbicaraan sebelum ini.

“Apakah ini tuntutan yang tidak munasabah? Jadi, saya minta UMNO dan ahli faham. Inilah isu sebenarnya. Kepincangan pentadbiran dalam undang-undang negara kita telah terlalu berat untuk kita seorang memikulnya,” ujarnya.

Oleh itu, kata Zaid, inilah masanya UMNO kembali kepada rakyat dan pastikan kemenangan berpihak kepada parti itu untuk menukar undang-undang zalim ini.

“Kita beri hak kepada setiap orang yang dituduh dalam undang-undang jenayah, kita beri hak kepada tertuduh mendapat peguam tanpa syarat, dan jika tertuduh tidak ada peguam, kerajaan akan memberi peguam kepadanya.

“Ini janji yang UMNO perlu lakukan dalam pilihan raya ini. Kita bukan mohon campur tangan. Yang kita mohon ialah supaya kerajaan ambil kira keadilan tertuduh, bukankah tugas kerajaan untuk mengambil berat kesusahan rakyat?,” katanya.

Tegas beliau, kalau Mahkamah Rayuan boleh membebaskan 14 individu termasuk dua beradik ahli perniagaan, Nicky Liow Soon Hee pada 7 Julai lalu atas pertuduhan terlibat dalam kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’, kenapa permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu ditolak?

Sedangkan, katanya, Geng Nicky dibebaskan kerana Jabatan Peguam Negara menerima serta mempertimbangkan representasi tertuduh selaku perayu.

“Kenapa bekas perdana menteri tidak mendapat tempoh dua bulan untuk barisan peguam baharunya memberi hujah? Apakah Najib tidak boleh diberi peguam untuk membelanya dengan masa yang cukup, inikah keadilan Putrajaya?

“Apa beza dengan anak ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan yang asalnya dikenakan pertuduhan yang berat kerana kes dadah tiba-tiba dikurangkan dengan surat representasi dari Peguam Negara.

“Janganlah double standard. Kata tidak ada campur tangan, ini jelas campur tangan. Jangan jadi hipokrit. Kita (Najib) hanya mahu pembelaan sama,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast