zaid ibrahim majlis peguam agong
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Zaid Ibrahim mengingatkan pemimpin dan ahli UMNO agar bekerja lebih kuat untuk memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) milik Barisan Nasional (BN).

Bekas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu berkata, jika UMNO dan BN mendapat majoriti dua pertiga, segala kepincangan yang berlaku ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) perlu diubah sebaik mungkin.

“Saya nak ahli UMNO faham. UMNO mesti pastikan menang PRU ini supaya kepincangan ini boleh diubah dan diatasi.

“Kalau UMNO tewas sekali lagi, UMNO akan menjadi tempat perkuburan, bukan lagi wadah perjuangan bangsa dan negara.

“Perlu ingat, UMNO mesti bersama mengukuhkan muafakat yang tulen, muafakat pemimpin yang mahu menyelamatkan parti, muafakat yang ditunjukkan oleh presiden yang mempertahankan UMNO sehingga masih hidup hari ini, walaupun ada orang mahukan UMNO mati,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena perhimpunan ahli dan pemimpin UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dalam majlis Taklimat Khas Presiden hari ini.

Menurut Zaid, apa yang berlaku selepas UMNO dan BN kalah pada PRU-14 dan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipenjarakan harus dijadikan pengajaran untuk lebih kuat semangat lagi bagi meneruskan perjuangan.

“UMNO jangan merasa selesa dengan mereka di Putrajaya. UMNO mesti memperjuangkan hak parti untuk hidup kekal. UMNO harus rela selagi hayat dikandung badan untuk menolong bangsa dan negara seperti yang telah dilakukan 60 tahun dahulu.

“Dalam tahun 1946, orang kampung, orang bandar dan Melayu bangun untuk menyelamatkan Raja-Raja Melayu. Kalau tidak, Malayan Union sudah tentu akan menghakiskan semua kuasa mereka.

“Tetapi, tahun ini, kita mesti selamatkan diri kita sendiri. Kalau tidak UMNO akan mati. Inilah cabaran UMNO, inilah yang UMNO perlu fikirkan dalam perjumpaan hari ini. UMNO tidak boleh lagi lengah,” ujarnya.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu turut menyatakan, kerajaan yang ada hari ini mungkin dipimpin oleh UMNO tetapi ia bukan kerajaan campuran dalam erti kata sebenar.

Sebaliknya, kerajaan yang dipimpin UMNO hari ini sebenarnya dikongkong, disokong dan didokong oleh musuh parti.

Kata Zaid, setiap hari UMNO melanjutkan kerajaan ini, selama itulah kepincangan dan pengkhianatan terhadap parti akan berterusan.

“Ini saja pesanan saya, mungkin saya menyinggung sesetengah pihak tapi saya rela menyinggung mereka, asalkan saya telus dan ikhlas terhadap UMNO.

“Perhimpunan hari ini berlangsung di Dewan Merdeka WTC. Dewan ini adalah tempat bersejarah kerana di sinilah perjuangan UMNO, landasan UMNO dan segala yang baik UMNO lakukan untuk bangsa dan negara.

“Di sinilah juga UMNO membahas dan mengusulkan. Namun, hari ini, UMNO berdepan dengan satu cabaran besar yang mungkin tidak pernah dihadapi oleh parti orang Melayu sebelum ini,” katanya.

Kata beliau, hari ini UMNO berdepan dengan beberapa cabaran yang semua tahu iaitu Najib satu-satunya pemimpin parti yang telah banyak berjasa kini berada dalam penjara.

Jelas Zaid, mantan Perdana Menteri itu telah melalui proses perundangan luar biasa selain berdepan dengan perancangan rapi serta terperinci pihak tertentu yang mahu menghancur serta mematikan UMNO.

“Hari ini juga, UMNO berdepan dengan keadaan dalam parti sendiri yang agak kucar kacir, seolah ada kumpulan dalam parti yang lebih rela bermuafakat bersama dengan musuh. Inilah keadaan UMNO hari ini dan keadaan negara hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette