KUANTAN – Pemandu van milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda milik orang awam di Jalan Jerantut – Temerloh baru-baru ini telah diambil tindakan.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Rusoff dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut berlaku pukul 3 petang pada 20 Jun lalu.
“Siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara melulu dan merbahaya,” katanya.
Berdasarkan hasil siasatan, katanya, Timbalan Pendakwa Raya telah mengarahkan untuk mengeluarkan saman kepada pemandu kenderaan pacuan empat roda itu dua hari lalu atas kesalahan menghalang lalu lintas di bawah kaedah 12 (4) LN 166/59.
“Kenderaan tidak boleh berhenti dan memotong di garisan putih berkembar bagi apa-apa tujuan,” jelasnya.
“Namun, pihak PDRM juga akan mengambil tindakan tata tertib terhadap pegawai penyiasat jika terdapat unsur-unsur kecuaian dalam siasatan,” jelas Mohd Azhar.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai perkongsian tular seorang wanita di Twitter yang mempersoal tindakan pihak polis menyaman pemandu pacuan empat roda yang juga abangnya, selepas kenderaan dipandu itu dilanggar dari belakang oleh van polis dalam kejadian terbabit.
Wanita itu turut melampirkan beberapa keping gambar keadaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger abangnya yang mengalami kerosakan pada bahagian belakang manakala van polis itu pula rosak di bahagian hadapan.
Ketika kejadian, wanita berkenaan mendakwa abangnya tidak melakukan kesalahan meletakkan kenderaan dengan merbahaya seperti tertulis dalam notis saman, sebaliknya ingin masuk ke simpang dan telah memberikan isyarat untuk membelok.
Bagaimanapun, pihak polis menolak ketika ditawarkan untuk menyemak rakaman papan pemuka pada pacuan empat roda abangnya itu ketika laporan dibuat di Balai Polis.-MalaysiaGazette