SERDANG – Amalan ‘ambil apa yang sempat’ atau ‘rembat apa yang dapat’ atau “sakau-menyakau” tidak boleh menjadi budaya dalam Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, amalan tersebut adalah budaya yang salah bukan sahaja dari segi hukum agama tetapi juga dari sudut undang-undang, moral dan etika masyarakat.
“Amalan ini jika dibiarkan membarah boleh menjadi punca kejatuhan bukan sahaja parti politik, tetapi masyarakat, negara dan tamadun.
“Untuk melangkah ke hadapan dengan lebih yakin dan gagah, Malaysia perlu mempunyai suatu ekosistem budaya, politik dan pengurusan kerajaan yang bebas rasuah dan berintegriti.
“Pengalaman lalu mengajar kita bahawa budaya politik yang dilingkari amalan rasuah merupakan suatu kemungkaran yang rosak lagi merosakkan,” kata Muhyiddin dalam Konvensyen PN 2022 sempena sambutan ulang tahun kedua penubuhan PN di sini hari ini.
Turut dihadir Presiden Gerakan, Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai; Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee; Presiden StarSabah Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan dan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Muhyiddin berkata, transformasi budaya politik yang bebas rasuah mesti bermula dari diri sendiri dan dari dalam parti PN.
“Jika dilihat dari sudut yang positif, Perikatan Nasional adalah sebuah gabungan parti politik yang baharu.
“Kita berpeluang untuk memupuk dan membina budaya politik baharu yang berlandaskan kepatuhan kepada nilai-nilai agama, moral dan etika untuk mewujudkan sebuah budaya politik yang sihat, bebas rasuah dan berintegriti,” katanya.
Menurut Muhyiddin, Bersatu telah meminta Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu,Tan Sri Radzi Syeikh Ahmad untuk menggubal buku etika sebagai kitab rujukan setiap ahli mengenai panduan etika dan moral sebagai ahli Bersatu.
“Walaupun kita telah ada kod etika ahli, tetapi buku ini akan memperincikan setiap kod etika itu dari segi hubung kaitnya dengan nilai agama dan moral yang mesti dijadikan panduan oleh setiap ahli.
“Saya percaya parti Gerakan, STAR dan SAPP juga mempunyai panduan etika dan moral untuk setiap ahli.
“Saya mahu subjek transformasi politik yang bebas rasuah dan berintegriti ini menjadi agenda utama Perikatan Nasional yang boleh dibahas dengan lebih lanjut di dalam konvensyen ini dan dikemukakan syor-syor untuk diteliti oleh Majlis Tertinggi Perikatan Nasional dan diambil tindakan susulan,” katanya.
Sementara itu Muhyiddin berkata, Akta Pendanaan Politik wajar digubal kerana terdapat garis pemisah yang amat kabur antara pendanaan politik dan rasuah.
Untuk itu, sebuah jawatankuasa di peringkat PN boleh ditubuhkan untuk mengkaji cadangan ini dengan lebih terperinci sebelum dikemukakan kepada kerajaan.
Katanya, untuk melangkah ke hadapan dengan lebih yakin dan gagah, Malaysia perlu mempunyai suatu ekosistem budaya, politik dan pengurusan kerajaan yang bebas rasuah dan berintegriti.
Pengalaman lalu memberi pengajaran budaya politik yang dilingkari amalan rasuah merupakan suatu kemungkaran yang rosak lagi merosakkan.-MalaysiaGazette